04 April 2010

Hikmah Di Sebalik Kegagalan

TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual.



     Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, ada kalanya ramai juga akan mengutuk diri sendiri atas kegagalan yang menimpa. Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa kepada putus asa.



     Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya. Daripada sudut fizikal, bagi segelintir individu, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya.



     Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali. Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Imannya tergoncang.



      Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati. Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.



KEGAGALAN DAN SAYA Saya pernah gagal dalam banyak perkara, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar bagi memperbetulkannya. Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa. Walau sukar dan berat, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik.



      Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita. Ia seperti satu simpang yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa depan.  Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif.



     Ia ibarat satu konflik yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar. Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif. Pastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta juga minat. Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.

     Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya. Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.

     Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal. Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan