22 Mei 2010

8 Tugas Penting Zaman Remaja

KINI, tugas dan perkembangan remaja merujuk kepada masalah yang biasa dihadapi oleh setiap individu pada peringkat berlainan dalam perkembangan hidupnya. Bagi remaja perkembangan ini adalah masalah yang perlu dihadapi dan diselesaikan pada masa peralihan daripada peringkat kanak-kanak ke peringkat dewasa.

     Masalah ini tidaklah semuanya unik, tetapi ia adalah kerumitan yang harus diatasi sekiranya remaja mengharapkan kejayaan dalam hidupnya sebagaimana orang dewasa. Setiap remaja akan menghadapi masalah sama ada emosi, rohani dan sosial. Kejayaan remaja menghadapi dan mampu mengatasi masalah yang dihadapinya akan menjadikan seseorang itu berjaya dalam hidupnya. Melalui bimbingan dan nasihat ibu bapa, remaja akan dapat menghadapi apa juga masalah dalaman dan luaran yang dihadapinya.

      Ahli psikologi Barat, Robert J Havighurst menyenaraikan lapan tugas penting yang memerlukan perhatian lebih pada zaman remaja.

Pertama, membentuk perhubungan baru yang lebih matang dengan rakan-rakan yang sama umur tidak kira lelaki atau perempuan

Kedua, boleh memainkan peranan dalam kehidupan sosial yang baik sama ada lelaki atau perempuan

Ketiga, menerima hakikat bentuk badan sendiri dan menggunakan kelebihan diri dengan berkesan

Keempat, mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa dan orang dewasa yang lain

Kelima, bersedia untuk berkahwin dan bertanggungjawab terhadap kehidupan keluarga

Keenam, bersedia untuk bekerja

Ketujuh, memperoleh satu set nilai dan satu sistem etika sebagai panduan tingkah laku untuk membentuk satu ideologi

Kelapan, mengingini dan menerima tanggungjawab serta tingkah laku bersosial.

      Justeru, remaja keseluruhannya mempunyai keperluan biologi dan kehendak yang serupa. Kadangkala ini dikenali sebagai keperluan asas diri. Keperluan ini termasuk lapar, dahaga, melakukan aktiviti seperti sukan dan sebagainya. Keperluan ini mestilah difahami oleh ibu bapa yang mempunyai anak remaja.

      Tugas dan tanggungjawab remaja sebenarnya tidak boleh lari daripada pembangunan isu sosial. Pembangunan yang dimaksudkan adalah pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang dilaksanakan oleh remaja. Remaja mestilah mengelakkan daripada terjebak ke dalam kegiatan tidak sihat.

      Antara keperluan personaliti remaja yang sangat diperlukan adalah untuk meningkatkan status, kebebasan, pencapaian dan falsafah hidup yang memuaskan. Remaja biasanya akan meletakkan hiburan sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka. Bagaimanapun, hiburan mestilah tidak sampai melalaikan dan mengganggu usaha untuk mencapai cita-cita.

       Berkaitan dengan salah laku remaja, ahli psikologi barat, Hirschi T melalui Teori Perbezaan Persatuan menyatakan remaja tidak berminat atau berhasrat untuk melakukan salah laku atau terlibat dalam aktiviti tidak sihat sebelum dia menggabungkan diri dengan mereka yang terbabit dengan aktiviti berkenaan. Hanya setelah mereka ‘belajar’ dan terdedah kepada unsur-unsur negatif, barulah mereka akan melibatkan diri dengan perkara berkenaan.

      Justeru, bagi menangani masalah dan salah laku remaja memerlukan kebijaksanaan dan fikiran rasional. Remaja perlu didekati secara psikologi, tidak menghalang secara total apa yang menjadi minat mereka. Setiap remaja sudah mempunyai minat masing-masing, malah minat berkenaan ditanam, disemai dan dipupuk sejak kanak-kanak lagi.

      Mereka juga tentu ingin memperkembangkan minat mereka yang sekian lama dipupuk. Oleh itu, ibu bapa perlu memberi sokongan, biarkan anak meneruskan minat mereka itu hingga berjaya, asalkan tidak melakukan perbuatan negatif dalam kehidupan. Ibu bapa bagaimanapun perlu meningkatkan tahap pengawasan terutama ketika anak keluar rumah selepas tengah malam.

      Ibu bapa mestilah bijak mendekati remaja dengan menerapkan nilai-nilai murni dan moral serta mempamerkan contoh yang baik. Penerapan nilai-nilai yang baik ini secara perlahan akan dapat menyerap ke jiwa remaja yang dahagakan bimbingan dan nasihat.

      Remaja tidak wajar dimusuhi kerana kecelaruan mereka memilih nilai yang baik dalam hidup. Cita rasa mereka tidak harus dipinggirkan dengan arahan demi arahan. Lazimnya yang mencetuskan keganasan adalah disebabkan ibu bapa tidak memahami perasaan dan jiwa anak mereka. Di sekolah pula, peranan guru mengukuhkan nilai-nilai yang baik dalam jiwa remaja. Pengukuhan ini boleh dilakukan melalui pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, nasihat dan bimbingan yang berkesan daripada guru akan memberikan panduan dan kesan yang baik kepada remaja.

      Identiti budaya generasi muda mestilah tidak menyimpang daripada nilai-nilai budaya yang kita anuti sekarang. Media mempunyai potensi untuk mempengaruhi budaya remaja. Oleh itu, media perlulah memaparkan nilai-nilai budaya yang baik yang perlu diamalkan setiap remaja. Elakkan remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan penggunaan pil khayal yang boleh merosakkan masa depan remaja.

      Pelbagai usaha boleh dilakukan oleh ibu bapa dan guru antaranya mengenal diri remaja, mendidik jiwa, mendidik supaya mengenang jasa, membentuk identiti dan jati diri ke arah menjadikan remaja yang berani menuju ke depan, tidak berputus asa dan penuh harapan.

       Sesungguhnya, ibu bapa dan guru mempunyai pengaruh yang boleh dilakukan ke arah kebaikan bagi melaksanakan pendidikan berterusan. Matlamat pendidikan seharusnya mengubah daripada perkara buruk ke arah kebaikan. Nilai kebaikan yang menjadi budaya dan jati diri remaja adalah hasil daripada pendidikan yang berkesan.

      Hanya melalui pendidikan dan bimbingan akan dapat menyelamatkan remaja. Ibu bapa dan juga guru dapat mendekatkan diri dengan remaja melalui pendidikan yang diberikan kepada mereka. Justeru, keberkesanan pendidikan di rumah dan di sekolah amat penting bagi mendekatkan dan menerapkan remaja dengan keimanan dan akhlak.

7 Tips Pekerja Cemerlang

Bila Anda memasang matlamat mahu menjadi pekerja cemerlang, ini beberapa tips asas.

1. Muhasabah Apa Niat Untuk Bekerja.
Saya memandang lebih pada aspek dalaman iaitu hati dan niat. Untuk menjadi pekerja cemerlang, Anda perlu bermula dari asas, iaitu niat hati Anda. Buat muhasabah diri, kaji untuk apa Anda turun setiap hari ke tempat kerja, adakah semata-mata hanya kerana Anda dibayar gaji, hanya mahukan gaji (dan tak kisah apa tu kecmerlangan dalam kerjaya) atau minat pada bidang kerja tu? atau keduanya sekali?

Ini kerana setelah mengkaji mindset sesetengah orang, ada yang jadi mereka jadi malas, tak bersemangat, kerja main lepas tangan dan lebih suka tak ambil kisah, janji duit gaji masuk. Namun, ada juga yang menjadikan tangga gaji sebagai 'booster' motivasi. Jika itu nawaitu Anda, yang lain akan turut serta, seperti disiplin, komitmen, fokus, produktiviti, performance, kerjasama dan akhir sekali mindset positif untuk menjadi cemerlang dalam kerjaya.

2. Lakukan Lebih Dari Apa Yang Perlu.
Dengan inisiatif sendiri, lakukan lebih dari apa yang perlu Anda lakukan dalam bidang kerja Anda. Misalnya, jika kawan sekerja Anda masuk kerja jam 9 pagi hingga 5 petang, Anda pula masuk jam 8.30 pagi hingga 7 petang, tanpa mengharap elaun lebih masa atau overtime. Timbulkan rasa seronok bekerja, sehingga Anda tak sedar masa berlalu.

3. Komited.
Jangan ambil kisah kalau orang lain kata yang Anda tunjuk rajin. Itu kerjaya Anda dan katakan pada diri bukan kawan-kawan Anda tu yang bayar gaji Anda. Untuk menjadi pekerja cemerlang, Anda perlu komited sepenuhnya, rajin dan belajar kemahiran-kemahiran lebih dari bidang tugas yang diperlukan. Jadi proaktif dengan rajin membantu kawan-kawan lain tanpa mengharapkan sedikitpun balasan. Tapi, rajin biar kena tempatnya, nanti Anda akan dipergunakan.

4. Bijak Menyelit.
Setiap tempat kerja pasti akan wujud sedikit 'politik'. Skill komunikasi interpersonal amat penting di sini. Anda perlu bijak menyesuaikan diri dengan mengkaji attitude rakan-rakan sekerja Anda. Pekerja yang cemerlang adalah seseorang yang tahu dimana ruang yang dia boleh menyelit tanpa perlu menjadi mangsa pada politik tempat kerja. Tapi, pekerja yang cemerlang takkan pernah bodek bossnya untuk cepat naik pangkat!

5. Belajar Tanpa Henti.
Pekerja yang cemerlang sentiasa memajukan dirinya dan prestasi kerjanya. Selain itu, dia akan sentiasa menambah ILMU, sama ada teori, praktikal ataupun penaakulan. Dia tahu apa yang perlu dipelajari dan tahu kemahiran apa yang perlu dikuasai. Dia menumpukan usaha pada benda yang benar-benar mendatangkan hasil, bukannya nak kuasai semua ilmu dan kemahiran dalam masa singkat.

Minda lebih senang menangkap dan memahami apa yang Anda pelajari jika menumpu pada satu perkara dalam satu-satu masa, one thing at a time, step by step.

6. Hormat Semua Orang.
Tak kira siapa jua rakan satu tempat kerja dengan Anda, hormati dia dan cuba ceriakan dia, walaupun dia setakat seorang mak cik cleaner. Tapi, jangan suka menyakat dan mentertawakan kekurangan atau kesilapan orang lain, sebab tak semua orang boleh menerimanya.

Menceriakan orang maksudnya Anda bijak membuat mereka rasa gembira dan membuat mereka rasa senang dengan Anda. Cemana? mungkin dengan berkongsi cerita-cerita lucu, beberapa jenaka atau membantu mereka di kala susah. Bila Anda ikhlas membuat orang lain jadi ceria, mereka akan hormat pada Anda.

Takde gunanya Anda jadi 'bising' maca tin kosong di tempat kerja tapi suka mengacau tak tentu pasal, pedas dengan umpatan, sindiran dan komplain-komplain yang remeh. Pekerja yang cemerlang diukur dari segi perbuatan dan pencapaiannya, bukan percakapan. Jadi, diamkan mulut, rajinkan tangan bekerja.

7. Penampilan Kemas, Segak dan Teratur.
Ini yang paling akhir. Ingat, persepsi dan 'first impression' orang lain amat penting dalam suasana kerja. Pekerja yang cemerlang sentiasa mempamerkan kekemasan diri pada pakaian, gaya ketika bekerja, gaya jalan, gaya ketika makan, gaya berbual dan kekemasan di ruang tempat kerjanya. Anda boleh menilai attitude kerja seseorang hanya dengan melihat meja kerjanya saja.

Kalau berserabut, berhambur, berterabur dan langsung tak teratur, itu tandanya orang tu bukan pekerja cemerlang dan akan payah untuk jadi cemerlang. Jika Anda duduk di meja yang selalu berterabur, ubah cepat perangai tu.

Itu menampakkan Anda seorang yang pemalas. Apa pendapat Anda, adakah kata-kata saya ini betul? Beri pendapat Anda di ruang komen. Ia tidak semestinya berlaku pada semua orang. Ada juga pekerja yang mejanya berserabut, tapi performance kerjanya cemerlang !

Akhir kata, beri komitmen pada kerja Anda sebaik mungkin dan jangan terlalu mengharap balasan dalam bentuk overtime lebih atau pujian semata. Ini resepi utama seorang pekerja cemerlang.

Walaupun ada 7 tips di atas, saya lebih memandang pada konsep 'memberi', tak kira sama ada sudi memberi tunjuk ajar, ikhlas membantu, sudi bekerjasama, komited dengan tugasan, bijak berkomunikasi dan melakukan lebih dari apa yang sepatutnya. Lebih banyak Anda memberi, lebih banyak juga Anda akan menerima. Tumpukan pada 7 tips ini dan kecemerlangan dalam kerjaya akan datang dengan sendirinya pada Anda. Dijamin !

15 Mei 2010

Bunga Sirih untuk Guru


Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.


Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.


Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.


Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima sayang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.



12 Mei 2010

Berfikir Positif, Bertindak Positif

Bila Anda di landa kegagalan, jangan berkata yang Anda tak boleh buat.  Anda boleh buat sebenarnya, cuma cara yang Anda telah gunakan sebelum ini adalah cara yang salah dan ia adalah cara yang tak betul. Jadi, cuba buat lagi, kali ini ubah strategi Anda untuk mencari cara yang betul.

      Berfikir positif saja hanya 20%, tak cukup, yang selebihnya 80% tu adalah usaha positif. Berfikir saja tak berkesan jika Anda tak mengambil apa-apa langkah. Bila Anda gagal, mula bangkit dari kegagalan dengan berkata pada diri kegagalan tu telah mengajar Anda yang usaha Anda telah menemui cara yang salah. Tidak ada erti gagal dalam dunia ni, gagal yang sebenar-benar gagal bila Anda telah berhenti mencuba dan "give up".

     Anda  belum  berapa  bagus lagi. Untuk menjadi lebih bagus, usaha lagi, cuba lagi. Jika Anda gagal hari ini, tidak semestinya Anda akan terus gagal di masa hadapan. Anda ada kelebihan tersendiri (hanya Anda saja yang tahu apa dia) keunikan tersendiri, dan kecenderungan tersendiri. Anda tidak sedar semua kelebihan diri Anda kerana Anda tidak pernah mencuba sampai mana tahap pencapaian Anda, setakat mana sempadan diri Anda.


"WE all are limitless.

We limit ourselves by thinking we can't do, and keep  telling this to ourself, in our MIND that we cant do!

We are what we think all the time. If you think you CAN'T do,
so be it".


      Tulis matlamat Anda dan selepas itu tanya diri Anda apa yang Anda boleh lakukan untuk mencapainya. Ia mungkin dengan menerapkan mindset positif, menerapkan tindakan positif dan berasa kagum dengan kejayaan orang lain untuk menggerakkan diri Anda. Satu lagi, tanya diri Anda bila Anda mahu mencapainya?Untuk apa Anda set matlamat tu? Adakah untuk suka-suka, untuk kalahkan pencapaian orang lain atau untuk membahagiakan orang-orang yang Anda sayangi?

Atau..

Untuk membina hidup diri Anda sendiri yang lebih baik dari sekarang?  Semuanya bermula dari dalam minda. Cari ilmu dulu, penuhkan minda Anda dengan ilmu. Belajar seumur hidup. Apa? Anda sudah terlalu tua untuk belajar? Sesudah ada ilmu, cari kemahiran. Kemahiran timbul bila kita melakukan sesuatu berulang-ulang.

       Sama juga dengan kemahiran mengawal Minda, Anda boleh mengawalnya dengan melatih Minda Anda berulang-ulang kali. Apa saja kemahiran, jika mahu dikuasai hanya perlu Anda lakukan sekerap yang mungkin, ini dari apa yang saya dapati bila mula belajar berenang satu ketika dulu.

      Akhir sekali, terapkan attitude positif. Inilah kunci utama ketiga-tiganya (attitude, skills, knowledge). Ia dikenali sebagai "ASK Factor". Attitude positif yang akan mencemerlangkan Anda, menjutawankan Anda dengan jalan yang halal. Ingat! Dalam semua keadaan, kita sentiasa ada dua pilihan. Sama ada mahu cemerlang atau gagal, gembira atau berduka, putih atau hitam mahupun biasa atau menjadi luar biasa.

      Jika Anda mahu jadi yang terbaik, pilihlah untuk jadi orang yang cemerlang. Jika Anda usahawan, pilih untuk menjadi Jutawan. Jika Ada seorang pelajar, pilih untuk menggenggam Anugerah Dekan.  Jika Anda masih orang biasa, pencapaian yang biasa-biasa, pilih untuk jadi luarbiasa!

Ubah diri sebelum ubah masyarakat

      RAMAI orang minta orang lain berubah. Remaja sering ditanya kenapa degil tidak mahu berubah? Kenapa ekonomi tidak berubah, politik tidak berubah-ubah?

     Pendek kata, semua kena berubahlah. Sebenarnya rahsia perubahan bermula dengan merubah diri sendiri. Jika hendak ubah keluarga, ubahlah diri dulu. Jika diri berubah barulah keluarga terubah, masyarakat pun berubah. Malah, hendak ubah negara pun bermula dengan perubahan diri sendiri.

      Jika hendak ubah orang lain, tetapi kita sendiri tidak mengubah diri kita maka orang akan ketawakan kita. Bagi mereka yang tidak mahu berubah mereka banyak menghabiskan waktu, tenaga serta fikiran untuk perkara memikirkan kesalahan orang, keburukan orang dan kelalaian orang, tetapi lupa membetulkan diri sendiri. Ada yang berani membuka keaiban orang, membincangkan keburukan orang, tetapi jarang sekali berani melihat keaiban diri sendiri. Tidak ramai orang berani mengakui kelemahan diri. Amat sedikit orang berterima kasih apabila ditegur dan dinasihati, sedangkan Islam didasari dengan saling nasihat-menasihati.

      Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya Islam itu nasihat." Kita perlukan jiwa-jiwa yang hebat untuk mewarisi negara dalam menghadapi cabaran global yang kompleks. Remaja berjiwa besar adalah mereka yang boleh berkongsi serta kekuatan dengan orang yang lebih berpengalaman. Orang tua hebat juga ialah mereka yang memahami serta menghormati perasaan remaja. Kegigihan mengubah diri sendiri membuatkan orang lain melihat dan merasakannya, memberi pengaruh kepada orang sekitarnya. Dia menjadi dorongan kepada orang lain untuk berubah.

      Kita tidak boleh menguasai hati orang untuk berubah dan orang pun payah untuk menguasai diri kita. Yang penting kita menggunakan kekuatan yang ada untuk dimanfaatkan orang yang rapat dengan kita. Mula-mula ubah diri kita, isteri kita dan anak kita. Jika semua bertindak proaktif begini tersebarlah perubahan itu. Ramai orang berkata: "Payahnya hendak ubah remaja", "isteri degillah", "pekerja keras kepalalah". Jawapan sebenarnya perlu melihat dalam diri kita, jangan terlebih dahulu menyalahkan orang lain. Mereka memang tetap melakukan kesalahan, tetapi kita pun ada silap juga. Mungkin cara penyampaian yang tidak kena. Rasulullah diutus bagi mengajak dan memberi contoh terbaik buat umatnya. Kita banyak juga mengajak, tetapi kurang contoh baik. Banyakkan ajakan, kurangkan ejekan. Berinteraksilah, jangan berkonfrantasi. Sayangilah, jangan membenci. Perubahan bermula dari diri sendiri.