30 Jun 2010

Belajar, mengajar lebih seronok

     BAYANGKAN situasi ini. Sebuah kelas hingar bingar, pelajar berhimpit tidak selesa, guru yang sedang mengajar di depan tidak diendahkan manakala suasana persekitaran diselubungi bau kurang menyenangkan meskipun kipas ligat berputar.

     Pelajar merungut kerana kurang diberi perhatian manakala guru gagal melaksanakan proses pembelajaran dengan baik kerana kekurangan tenaga bagi memantau kira-kira 40 pelajar. Suasana itu bukan rekaan tapi realiti di kebanyakan sekolah di negara ini, gara-gara jumlah yang ramai dalam sesebuah kelas.

     Memburukkan lagi keadaan apabila guru yang mengajar terpaksa bekerja keras mengawal perjalanan kelas menyebabkan mudah naik darah dan merencatkan proses pembelajaran. Namun, mereka tiada pilihan dan perlu akur kerana inilah senario yang perlu dihadapi setiap hari.

      Justeru, apabila ada cadangan mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang setiap kelas di sekolah rendah dan menengah, apakah ia jalan keluar kepada masalah sedia ada? Berdasarkan kajian ilmiah di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia, jumlah itu sangat ideal bagi memacu kecemerlangan pencapaian di kalangan pelajar.

      Di negara ini, rancangan pengenalan jumlah kapasiti kecil di kalangan pelajar dirancang melalui Kokurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada 1983 dan Kokurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) 1988. Malangnya hingga kini ia tidak diimplementasikan.

      Konsep 25 pelajar satu kelas membolehkan proses pembelajaran lebih selesa dan menyeronokkan. Komunikasi dua hala boleh berjalan lancar. Namun, bilakah ia menjadi kenyataan atau hanya sekadar cadangan sedangkan kebanyakan negara maju sudah melaksanakan konsep itu? Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata cadangan itu wajar dilaksanakan segera bagi mengelak masyarakat tertanya-tanya manakala warga sekolah terus menjadi mangsa.

      Beliau berkata, walaupun di peringkat cadangan, masyarakat menganggap ia satu harapan, selari dengan kehendak dunia pendidikan masa kini. "Masyarakat mahukan sistem pendidikan terbaik dan berkualiti tapi jika suasana di kelas padat dan sesak, bagaimana boleh belajar dengan selesa? "Faktor kecemerlangan bukan saja daripada individu tapi keseluruhan termasuk prasarana yang disediakan," katanya.

Menurutnya, jika cadangan itu direalisasikan, ia bakal memberi keselesaan optimum kepada pelajar selain membantu guru lebih fokus mengajar. Katanya, jumlah pelajar yang kecil bukan saja memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran malah memberi impak positif menjana ilmu.

     "Sistem pendidikan begitu pantas dengan kepelbagaian modul. Jika guru terpaksa memantau lebih 30 pelajar, pasti suatu kesukaran. "Kelas ramai bukan saja akan merendahkan kualiti pembelajaran malah menyebabkan penurunan produktiviti," katanya.

     Mengehadkan jumlah pelajar kepada 25 orang bagi setiap kelas di sekolah rendah dan menengah adalah antara cadangan yang dikenal pasti jawatan kuasa khas yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan bagi mengatasi masalah bebanan guru.

    Dr Tajul Ariffin berkata, jika ia gagal dilaksanakan sejak 27 tahun lalu, ia bukan alasan untuk menangguhkan lagi kerana warga sekolah dahagakan suasana persekitaran lebih kondusif bagi tujuan pencarian ilmu. "Untuk melahirkan generasi cemerlang, faktor persekolahan serta pendidikan terbaik adalah salah satu sokongan utama. Jika kemudahan yang diberikan rapuh, ia akan menjejaskan mutu guru pelajar.

     "Ia perlu dilaksanakan kerana jika ditangguh terlalu lama akan menjejaskan segala usaha," katanya. Katanya, sekolah berasrama penuh sudah melaksanakan konsep itu dan hasilnya mereka mencipta kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang.

      "Berbanding sekolah harian, keadaannya berbeza. Saya tidak kata pelajar sekolah harian tidak bijak, tapi keselesaan juga memainkan peranan untuk kecemerlangan," katanya. Beliau berkata jika kapasiti pelajar kecil, penumpuan penuh dapat diberikan sekali gus membantu menangani kepincangan pelajar tercicir.

     "Ramai yang bergantung pada tuisyen tapi pengecilan jumlah pelajar membolehkan proses pembelajaran lebih dinamik. Guru boleh memantau dan melihat keperluan mereka. "Pelajar tidak memerlukan tuisyen untuk berjaya. Jika mereka boleh beri sepenuh perhatian di kelas dan guru cekap melihat kelemahan atau potensi pelajar, masalah boleh diselesaikan.

      "Malangnya, semua itu sukar kerana kapasiti pelajar lebih daripada kemampuan menyebabkan yang lemah terpaksa mencari alternatif lain. Mereka tidak boleh bersandar harapan kepada guru semata-mata," katanya. Beliau tidak menafikan kelemahan perancangan menjadi punca kegagalan Kementerian Pendidikan melaksanakan konsep 25 pelajar satu kelas.

      "Sekolah tidak berubah tapi pelajar sentiasa bertambah. Buatlah bandar terancang seperti Putrajaya. Jangan sesuka hati mengubah dasar pendidikan yang lama dibuat. Perancangan penyelidikan dan penyediaannya memakan tempoh yang panjang, jika selalu diubah, bila nak dilaksanakan?" katanya.

Tingkatkan Keyakinan Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar Anda? Moga sihat sejahtera hendaknya.

Kali ini saya akan berkata tentang cara bagaimana nak meningkatkan keyakinan diri. Ada banyak cara sebenarnya tapi saya akan kongsikan 3 cara saya dalam meningkatkan keyakinan diri.

1. Lihat Keyakinan Orang Lain Dan Tiru.

Dalam artikel lalu saya ada menulis tentang konsep modelling, maksudnya Anda meniru dan 'mengkopi' gaya orang lain, memahirkan diri dengannya, serap lalu menjadikannya tabiat diri Anda. Untuk meningkatkan keyakinan diri, cari orang pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh kemudian kaji gaya mereka bercakap.

Lihat gaya orang-orang yang Anda rasa keyakinan dirinya tinggi, perhatikan gayanya berjalan, bercakap, stailnya, gaya badannya bila berbual dan ketika makan. Kemudian, tiru! Lama-kelamaan keyakinan diri Anda akan meningkat, langkah demi langkah.

2. Latih Diri Untuk Sentiasa Bercakap.

Saya dulu seorang yang pendiam. Namun, sejak saya memegang jawatan sebagai Supervisor dan dalam masa yang sama terlibat dalam Direct Selling, saya tak tahu cemana nak tingkatkan keyakinan diri. Tapi, bila saya tengok kawan-kawan yang rajin bercakap, mereka mempunyai self confidence yang sangat tinggi.

Lalu, saya melatih diri untuk melakukan perkara yang sama. Saya berbual apa saja topik dengan sesiapa saja, adik beradik, kawan serumah, rakan sekerja sehingga bos saya. Saya berbual tentang banyak topik dari bola sepak, fitness, renang, isu semasa, hal-hal time kerja, tentang komputer, handphone, bahkan sehingga part-part yang agak personal.

     Rajinkan Diri Anda Bercakap dan Ikhlaskan Hati Bila Berbual-bual. Anda kurang yakin kerana Anda memilih untuk menjadi pasif tanpa Anda sendiri sedari. Jadi, aktifkan diri Anda ! Mulakan perbualan dengan sesiapa sahaja. Tak perlu bercakap sendiri di depan cermin. Cara latihan yang paling baik ialah rajin bercakap di depan orang lain, sesiapa saja seramai yang mungkin dalam sehari. Kesannya, Anda akan hilang rasa malu dan keyakinan diri akan mula bertambah step by step.

3. Ubah Mindset

Bayangkan diri Anda sebagai seorang yang segak dan anggun dengan air muka yang 'konfiden'. Yakinkan diri untuk bercakap, berbual dan berkata-kata. Kalau masih tak yakin, beranikan diri seberani yang mungkin dan 'konfidenkan' diri. Cuba berlakon sebagai seorang yang nampak yakin.

Sebelum itu, bayangkan yang Anda melihat diri Anda dengan muka yang yakin, bersalam dengan orang lain dengan penuh konfiden dan berbual dengan gaya yang berkarisma. Buat selalu sebelum Anda turun kerja atau sebelum keluar rumah. Lama-kelamaan, ia akan jadi kebiasaan.

Anda tak yakin sebab Anda takut dan malu. Takut adalah sebab utama mengapa ramai yang jadi tak yakin dan sebab takut juga Anda jadi malu, takut diumpat, diperlekeh dan takut orang lain mentertawakan Anda.

Untuk meningkatkan keyakinan diri, Anda perlu berlatih, berlatih dan terus berlatih bercakap. Lama-kelamaan Anda akan memiliki kecantikan sosial, di mana orang akan berasa senang bila bersama-sama dengan Anda bila-bila masa, di mana jua Anda berada.

Berusaha untuk sentiasa buat orang lain berasa senang dan kurangkan bercerita pasal diri sendiri, tu orang tak berapa suka. Selain tu, latih diri untuk menjadi yakin dan pamerkan keyakinan diri Anda di mana jua. Moga tips ini bermanfaat untuk Anda.
Hikmah bersyukur kerana Anda adalah Anda


Setiap orang dikalangan kita ada keunikan masing-masing. Ketika dalam proses membina kejayaan, membina kejayaan dalam hidup kita, kita akan terdorong untuk mengikuti stail orang lain. Kita akan terfikir untuk mengkopi cara orang lain bekerja supaya kita boleh berjaya sepertinya.


     Ini dipanggil modelling. Kita pilih seseorang yang kita anggap berjaya, jadikan dia sebagai idola kita kemudian tiru dia -tiru peribadinya dan kerajinanya bekerja. Persoalannya adalah, ramai orang jadi bermasalah setiap kali meniru orang lain.


      Mereka jadi kurang bersemangat apabila apa yang mereka usahakan tidak menjadi seperti yang idola mereka usahakan. Mereka berhenti dari berusaha lalu beralih kepada perkara lain. Mereka berkata kejayaan tu adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai (tanpa mereka sendiri berusaha mengkoreksi diri).


       Kita kena sedar kita adalah kita. Modelling tidak berkesan pada diri kita kerana kita tidak sesuaikan diri kita dengan yang kita tiru dari orang lain. Setiap kali bangun pagi kita tidak pernah terfikir untuk bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita sebagai diri kita. Kita ada keunikan tersendiri.


       Apa yang kita tiru dari orang lain, kita kena fikir dulu, ubah sedikit mengikut selera kita kemudian amalkan. Semua orang nak jadi rajin, tapi tak semua orang sanggup menjadi rajin 12 jam sehari sebab masing-masing daripada kita ada komitmen berbeza, tanggungjawab berbeza, pendekatan berbeza, cara mencari rezeki yang berbeza.


      Bersyukurlah kerana Anda adalah Anda. Bersyukurlah kerana anda ada keunikan sendiri yang mungkin orang tak ada langsung pada diri mereka. Panjatkan syukur kerana dengan keunikan itu Anda boleh membina kekuatan untuk membuat Anda menonjol di kalangan ramai orang dalam bidang Anda.


     Salah satu hikmah paling ketara apabila kita bersyukur kita adalah kita - kita sentiasa bermotivasi. Kita akan menemui bakat-bakat diri kita yang sebelum ni kita tak pernah jumpa sedangkan orang lain masih tercari-cari apa bakat mereka.
1MALAYSIA


Apa yang kita boleh pelajari dari motto 1 Malaysia?


     Satu bermakna kita memfokus pada hal yang sama, sepakat dan sefahaman. Kita sama-sama berusaha menjadikan impian bertukar menjadi kenyataan. Kemahiran kita, idea dan tenaga digabung bersama dalam usaha menjayakan sesuatu.


     1 Malaysia kita boleh serap menjadi sistem pembina kejayaan buat diri kita. Fikir apa kekuatan kita dan apa bakat kita, kemudian kumpulkan lalu fokuskan semuanya kepada keinginan membara mahu mencapai matlamat kita. Jika kita memikir dengan mendalam, melihat jauh ke diri kita dan kejadian fizikal kita, kita ada potensi dan kapasiti untuk jadi cemerlang. Kita ada kemampuan untuk mencapai tahap kejayaan.


     Kita ada minda kita, emosi kita dan idea-idea kita. Kita cuma perlu tukarkan ketiga-tiganya menjadi sangat positif supaya kita lebih menonjol, lebih maju daripada orang lain disekeliling kita. Gunakakannya untuk menjadikan usaha kita berhasil. Kita akan berjaya mencapai tahap kejayaan jika kita memfokus pada perkara paling penting iaitu tindakan kita dalam proses berusaha. Jadi, kita kena tumpukan idea, minda dan emosi kita kepada curahan tenaga. Gunakan kudrat kita hingga ke tahap maksima, ke tahap paling tinggi.


     1 Malaysia menggesa kita supaya bersatu. Bila konsep itu ditukar lalu diserap ke dalam sistem kejayaan kita, maknanya kita kena satukan sumber-sumber yang ada pada kita supaya menghasilkan tenaga yang amat kuat. Tenaga itu kemudiannya kita curahkan ke dalam proses mencapai kejayaan. Dari situlah motivasi muncul. Makin banyak dicurahkan, makin tinggi tahap motivasi yang kita rasakan. Hari ini, elak dari memikir perkara-perkara negatif dan semua yang berkaitan dengannya, termasuk emosi-emosi buruk. Jauhkan dan lupakan, dari sekecil-kecil hingga ke sebesar-besarnya.


     Seperti yang saya katakan tadi, tumpukan perhatian pada usaha, tindakan dan apa yang boleh kita lakukan. Lihat lalu kawal selia hasil usaha, kesan dari tindakan Anda. Teliti sama ada ia menuju kepada matlamat Anda atau tidak. Ingat dua perkara tadi - usaha dan teliti hasil usaha. Jika masih belum memuaskan hati Anda, tambahkan lagi usaha.