29 Mac 2010

Pengalaman Penting Untuk Mencari Kerja

Tawaran melanjutkan pelajaran ke menara gading pastinya menjadi idaman setiap pelajar. Ibu bapa dan saudara-mara turut berbangga kerana selepas menamatkan pengajian nanti, pasti si anak memperoleh pekerjaan yang baik.



PERSEDIAAN AWAL...pemohon perlu sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu ketika menghadiri sesi temu duga.


MAHIR BERKOMUNIKASI...graduan harus bijak berkomunikasi dan menjaga penampilan diri ketika dipanggil untuk sesi temu duga.

     Namun, cerita indah itu sukar untuk diterjemahkan hari ini. Walaupun memiliki ijazah, ia bukan jaminan anda akan mendapat pekerjaan selepas keluar dari menara gading. Cerita graduan menganggur hari ini bukan kerana mereka tidak mendapat keputusan yang baik kerana ramai pelajar memperoleh pencapaian yang baik tetapi masih belum mendapat pekerjaan.


     Justeru, timbul persoalan apa yang tidak kena dengan graduan hari ini. Apakah perlu ada aksesori tambahan untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan? Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan) Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Naseer Noor, berkata dalam suasana ekonomi negara kini, pelajar boleh merebut pelbagai peluang pekerjaan.


     Beliau berkata, kebanyakan graduan bukan gagal mendapat pekerjaan tetapi terlalu memilih dan lebih sanggup menganggur daripada bekerja.  “Sebagai graduan IPT, peluang memperoleh pekerjaan sentiasa ada kerana kebanyakan syarikat yang mencari pekerja mahu mengambil mereka yang berpelajaran.  “Masalahnya, pelajar kita terlalu memilih. Mereka lebih rela duduk di rumah daripada memegang jawatan yang tidak setaraf dengan tahap pendidikan yang diperoleh,” katanya. Dr Naseer berkata, sesetengah graduan juga tidak mempunyai kesabaran dan mudah bertukar pekerjaan.


     “Pelajar kini lebih mementingkan gaji lumayan daripada mengumpul pengalaman. Mereka bukan sekadar sering bertukar kerja, malah sanggup berhenti semata-mata kerana mendapat gaji yang kecil,” katanya. Beliau meminta pelajar tidak terlalu melihat faktor gaji kerana pengalaman lebih penting untuk masa depan. “Mungkin pekerjaan itu menawarkan gaji rendah tetapi lihat pula pengalaman yang diperoleh. Ada syarikat yang memberi gaji rendah tetapi menawarkan pelbagai latihan,” katanya.



     Selain itu, beliau mengakui sesetengah mahasiswa tidak memiliki ketrampilan yang menarik atau aset tambahan seperti kemahiran untuk meyakinkan majikan mengambil mereka. “Jika dalam temu duga, anda gagal menjawab beberapa soalan mudah termasuk berkaitan syarikat yang dipohon, tentu peluang mendapat kerja agak sukar.


      “Ketika menghadiri temu duga, penampilan perlu menarik dan jangan lupa membuat kerja rumah terutama jika penemuduga bertanyakan soalan pengetahuan am.  “Ada mahasiswa malas membaca dan ini memberi kesukaran apabila menghadapi temu duga, apatah lagi mereka tiada pengalaman,” katanya. Sementara itu, di pihak industri pula, ramai mahasiswa yang memohon sesuatu pekerjaan tetapi tidak membuat persediaan.

     Eksekutif Bahagian Sumber Manusia Toshiba Electronics Malaysia Sdn Bhd (Toshiba), Nur Azmil Zainal Abidin, berkata sesetengah graduan yang hadir untuk temu duga tiada pengetahuan mengenai jawatan dimohon. “Mahasiswa patut membuat persediaan rapi. Namun, daripada pengalaman mengendalikan sesi temu duga, mereka bukan saja tidak bersedia tetapi kabur terhadap jawatan yang dimohon. “Mahasiswa juga mempunyai masalah berkomunikasi terutama bahasa Inggeris. Ini menyebabkan majikan tidak berminat mengambil mereka walaupun pencapaian pelajaran cemerlang,” katanya.


     Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan pekerja baru di Toshiba, kata Nur Azmil, selain persediaan graduan perlu memastikan resume yang dihantar adalah yang terkini. “Perkara pertama yang kami nilai ialah resume kerana ia dianggap pengenalan diri pelajar. “Ada pelajar mempunyai kelayakan tetapi resume tidak menepati piawaian ataupun gagal dikemas kini menyebabkan gagal dipanggil untuk temu duga,” katanya.


     Pada sesi temu duga ini, katanya, pemohon akan di nilai dari segi penampilan, cara berkomunikasi, pengetahuan mengenai jawatan yang dimohon dan beberapa soalan lain. “Melalui temu duga, majikan melihat sejauh mana kebolehan dan kesesuaian pelajar dengan jawatan itu. “Jika ada kelulusan tetapi tidak mampu menonjolkan diri dan meyakinkan majikan, hasilnya pasti mengecewakan,” katanya. Justeru, beliau meminta mahasiswa yang mencari pekerjaan memastikan sentiasa mengemas kini resume sebelum menghantar kepada majikan selain menjaga imej diri. “Graduan juga perlu ada keyakinan diri dan kemahiran lain yang dapat menyokong permohonan mereka,” katanya.


     Eksekutif Unit Pengurusan Kerjaya Eksekutif Baru, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Fidzuan Abu Bakar, berkata jika tiada pengalaman bekerja memang sukar untuk mendapat pekerjaan. Beliau berkata, cara paling baik ialah mencari sebanyak mungkin pengalaman bekerja kerana ia akan membantu mahasiswa untuk mendapat pekerjaan bergaji lumayan kelak.


       “Tanpa pengalaman, memang sukar mendapat kerja tetapi mereka boleh mencuba mencari pekerjaan dalam bidang yang tidak memerlukan pengalaman,” katanya. Katanya, TNB sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada graduan yang tiada pengalaman. Menurutnya, untuk memohon sesuatu pekerjaan, ia bukan saja memerlukan kemahiran mengenai jawatan itu tetapi kemahiran lain.


     “Jika anda memohon jawatan eksekutif jualan dan mempunyai kemahiran lain seperti boleh berkomunikasi dalam beberapa bahasa, boleh memandu, tahu mengenai pemasaran dan akaun, pasti anda pilihan utama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan