03 Disember 2010

Komunikasi Dalam Diri

Salam sejahtera..
Salam ceria dan salam hebat luarbiasa..

Bangun pagi-pagi, bila kita fikir kita ni seorang yang hebat, tak ke ia bagus untuk memberi semangat pada diri kita?

     Pedulikan cakapan orang lain, yang penting kita sendirilah yang patut memberi semangat pada diri kita sendiri.. Anda seorang yang hebat, kerana memiliki minda yang amat hebat.

     Jika difikirkan cakapan orang lain, ia hanya akan memusnahkan kita, menghadkan potensi kecemerlangan kita dan "menghancuskan" kita.. mengapa pula? sebab

Kita Adalah Apa Yang Kita Fikirkan.

Kalau orang kata bodoh dan kita berfikir kita ni bodoh dan seakan percaya dengan kebodohan kita, maka akan jadi bodohlah kita. Law Of Attraction memainkan peranannya serta merta.

     Kalau pagi-pagi bangun asyik fikir yang kita ni takde duit dan sentiasa bermasalah duit, begitu jugalah jadinya kita. Apa yang kita selalu fikirkan, tu lah yang akan jadi selagi kita tak mengubahnya.

     Bagi Anda yang tidak tahu menahu tentang Law Of Attraction, inilah hakikat sebenornye. Fikiran kita menarik semua apa yang selalu bermain di minda kita. Oleh itu, Anda perlu belajar mengenai kawalan minda dan be aware (berwaspada) bila berkata dengan diri sendiri.

Kali ini saya berkata tentang komunikasi diri. Setiap hari kita berkomunikasi dengan diri kita.

Ia dalam 2 bentuk, komunikasi luar dengan orang lain (external communication) dan komunikasi dalam diri dengan diri sendiri (internal communication).

     Semua apa yang berlaku pada diri kita, bukan sebab orang lain, tapi sebab kita sendiri.Orang cemerlang sentiasa positif kerana mereka sentiasa berkomunikasi yang positif dengan diri sendiri dan memilih untuk meletakkan diri mereka dalam situasi-situasi positif.

Kita yang memilih untuk menjadikan diri kita ni apa, bahkan kita "mencipta" semua yang berlaku pada diri kita. Kita jadi malas, sebab kita layan rasa malas dan membiarkan rasa malas menguasai diri kita bahkan berkata pada diri sendiri betapa syoknya kalau layan rasa malas.

     Kita sentiasa menghadapi masalah kewangan kerana kita sendiri yang memilihnya dan berkata pada diri sendiri betapa syoknya kalau berhutang mahupun berbelanja sakan.

Kita tak memilih untuk menjaga kewangan kita dan tidak memantau perbelanjaan kita mahupun bekerja keras menambahkan punca pendapatan kita, bahkan kita berkata dengan diri sendiri "ini aku punya duit, suka hati akulah apa aku mau buat".. Ada ke?

     Fikiran positif dan negatif terbit dari komunikasi kita dengan diri sendiri. Bagaimana interpretasi kita dan tanggapan kita pada orang lain, itulah yang akan menentukan persepsi kita dan jenis gelombang yang dikeuarkan oleh minda kita.

     Cemana kita pandang situasi tu, cemana kesimpulan kita, apa reaksi kita, itulah yang akan membentuk ciri-ciri komunikasi kita dengan diri sendiri sama ada positif atau negatif.

Cuba bayangkan bila kita melihat seorang gadis yang memandu kereta Satria GTi stail sporty kaler silver lalu di depan Anda dengan perlahan, bahkan dia senyum lagi pada Anda.

Apa respon Anda? Mari kita tengok, adakah Anda dalam situasi ini...

Situasi 1:

"Hek eleh.. berlagak la tu.. ingat dia sorang aje ada kete camtu? Boleh jalan daa.."

Situasi 2:

"Wow.. cantiknya kereta dia! Senyumannya manis juga.. wow, kagumnya aku! Tambah semangat aku tengok kete tu, kalau dia boleh ada kete camtu, aku pun boleh! Aku cuma tambah income lebih banyak dari sekarang untuk beli kereta gitu"

Ok, saya akan analisa satu persatu. Sedar atau tidak, Situasi 1 merupakan satu contoh bentuk komunikasi negatif dengan diri Anda.

     Mengapa pula? sebab Anda telah melahirkan perasaan cemburu, menyampah, geram dan perasaan sakit hati pada gadis tu serta keretanya. Lalu, setelah berkomunikasi begini dengan diri Anda sendiri, minda Anda mengeluarkan gelombang negatif.

Seterusnya, ia akan menarik situasi-situasi negatif, orang-orang yang negatif dan perkara negatif. Selepas itu, banyak situasi negatif akan berlaku pada Anda secara kebetulan.

Jangan heran kalau tetiba Anda jatuh longkang, dompet hilang, tersilap bagi duit, hanphone terjatuh, kasut kena curi, kereta Anda terlanggar oleh kereta orang lain, baju terkena kuah kari dan macam-macam lagi situasi negatif yang semuanya berlaku secara tiba-tiba.

Situasi 2 merupakan komunikasi positif dengan diri sendiri. Pemikiran positif merupakan pemikiran yang baik-baik, sentiasa memuji orang lain dan sentiasa terbit kekaguman. Orang yang camni di akan sentiasa menumpukan pada ciri-ciri yang baik pada semua benda, semua orang dan semua keadaan.

Dia kagum dengan kereta Satria Gti tu dan jadi tambah bersemangat bila melihat kereta tu.

Mindanya akan mengeluarkan gelombang positif lalu menarik situasi-situasi positif, orang-orang yang positif dan perkara-perkara positif secara kebetulan.

Dia berjumpa dengan lebih banyak lagi kereta Satria Gti yang sporty, gadis-gadis yang manis, orang-orang yang hebat penampilannya, rumah yang cantik-cantik dan bertemu dengan orang-orang yang sentiasa tampil ceria, bersemangat dan energetik. Jika Anda pernah berada dalam situasi kebetulan, itu bukan kebetulan.

Itu semua kerja minda. Itulah Law Of Attraction.

Pernahkah Anda teringat seseorang dan tiba-tiba dia muncul di depan Anda?

Pernah tak Anda berfikir nak beli buku motivasi dan tiba-tiba Anda bertemu dengan banyak buku-buku motivasi?

Pernah tak Anda berfikir nak tambah income dan tiba-tiba Anda bertemu dengan banyak peluang menjana wang, secara kebetulan dan secara tiba-tiba?

Pernah tak Anda berfikir nak baca blog motivasi asyik berfikir kat mana nak cari blog motivasi dan tetiba berjumpa dengan blog saya ni?

Itu semua bukan kebetulan.

Ia adalah tanda, minda Anda telah mengatur segalanya.

Tingkatkan Keyakinan Diri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar Anda? Moga sihat sejahtera hendaknya.
Bagaimana nak meningkatkan keyakinan diri? Ada banyak cara sebenarnya tapi saya akan kongsikan 3 cara saya dalam meningkatkan keyakinan diri.

1. Lihat Keyakinan Orang Lain Dan Tiru.

Dalam artikel lalu saya ada menulis tentang konsep modelling, maksudnya Anda meniru dan 'mengkopi' gaya orang lain, memahirkan diri dengannya, serap lalu menjadikannya tabiat diri Anda. Untuk meningkatkan keyakinan diri, cari orang pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh kemudian kaji gaya mereka bercakap.

Lihat gaya orang-orang yang Anda rasa keyakinan dirinya tinggi, perhatikan gayanya berjalan, bercakap, stailnya, gaya badannya bila berbual dan ketika makan. Kemudian, tiru! Lama-kelamaan keyakinan diri Anda akan meningkat, langkah demi langkah.

2. Latih Diri Untuk Sentiasa Bercakap.

Saya dulu seorang yang pendiam. Namun, sejak saya memegang jawatan sebagai Supervisor dan dalam masa yang sama terlibat dalam Direct Selling, saya tak tahu cemana nak tingkatkan keyakinan diri. Tapi, bila saya tengok kawan-kawan yang rajin bercakap, mereka mempunyai self confidence yang sangat tinggi.

    Lalu, saya melatih diri untuk melakukan perkara yang sama. Saya berbual apa saja topik dengan sesiapa saja, adik beradik, kawan serumah, rakan sekerja sehingga bos saya. Saya berbual tentang banyak topik dari bola sepak, fitness, renang, isu semasa, hal-hal time kerja, tentang komputer, handphone, bahkan sehingga part-part yang agak personal.

Rajinkan Diri Anda Bercakap dan Ikhlaskan Hati Bila Berbual-bual.

     Anda kurang yakin kerana Anda memilih untuk menjadi pasif tanpa Anda sendiri sedari. Jadi, aktifkan diri Anda ! Mulakan perbualan dengan sesiapa sahaja.

Tak perlu bercakap sendiri di depan cermin. Cara latihan yang paling baik ialah rajin bercakap di depan orang lain, sesiapa saja seramai yang mungkin dalam sehari. Kesannya, Anda akan hilang rasa malu dan keyakinan diri akan mula bertambah step by step.

3. Ubah Mindset

Bayangkan diri Anda sebagai seorang yang segak dan anggun dengan air muka yang 'konfiden'. Yakinkan diri untuk bercakap, berbual dan berkata-kata. Kalau masih tak yakin, beranikan diri seberani yang mungkin dan 'konfidenkan' diri. Cuba berlakon sebagai seorang yang nampak yakin.

     Sebelum itu, bayangkan yang Anda melihat diri Anda dengan muka yang yakin, bersalam dengan orang lain dengan penuh konfiden dan berbual dengan gaya yang berkarisma. Buat selalu sebelum Anda turun kerja atau sebelum keluar rumah. Lama-kelamaan, ia akan jadi kebiasaan.

     Anda tak yakin sebab Anda takut dan malu. Takut adalah sebab utama mengapa ramai yang jadi tak yakin dan sebab takut juga Anda jadi malu, takut diumpat, diperlekeh dan takut orang lain mentertawakan Anda.

    Untuk meningkatkan keyakinan diri, Anda perlu berlatih, berlatih dan terus berlatih bercakap. Lama-kelamaan Anda akan memiliki kecantikan sosial, di mana orang akan berasa senang bila bersama-sama dengan Anda bila-bila masa, di mana jua Anda berada.

   Berusaha untuk sentiasa buat orang lain berasa senang dan kurangkan bercerita pasal diri sendiri, tu orang tak berapa suka. Selain tu, latih diri untuk menjadi yakin dan pamerkan keyakinan diri Anda di mana jua. Moga tips ini bermanfaat untuk Anda.



7 Tips Pekerja Cemerlang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.....
Bagaimana hendak menjadi pekerja cemerlang, secemerlang yang mungkin dan sehebat yang mungkin tak kira apa jua bidang kerja yang menjadi kerjaya Anda. Bila Anda memasang matlamat mahu menjadi pekerja cemerlang, ini beberapa tips asas.

1. Muhasabah Apa Niat Untuk Bekerja.

Saya memandang lebih pada aspek dalaman iaitu hati dan niat. Untuk menjadi pekerja cemerlang, Anda perlu bermula dari asas, iaitu niat hati Anda. Buat muhasabah diri, kaji untuk apa Anda turun setiap hari ke tempat kerja, adakah semata-mata hanya kerana Anda dibayar gaji, hanya mahukan gaji (dan tak kisah apa tu kecmerlangan dalam kerjaya) atau minat pada bidang kerja tu? atau keduanya sekali?

Ini kerana setelah mengkaji mindset sesetengah orang, ada yang jadi mereka jadi malas, tak bersemangat, kerja main lepas tangan dan lebih suka tak ambil kisah, janji duit gaji masyuk. Namun, ada juga yang menjadikan tangga gaji sebagai 'booster' motivasi. Jika itu nawaitu Anda, yang lain akan turut serta, seperti disiplin, komitmen, fokus, produktiviti, performance, kerjasama dan akhir sekali mindset positif untuk menjadi cemerlang dalam kerjaya.

2. Lakukan Lebih Dari Apa Yang Perlu.

Dengan inisiatif sendiri, lakukan lebih dari apa yang perlu Anda lakukan dalam bidang kerja Anda. Misalnya, jika kawan sekerja Anda masuk kerja jam 9 pagi hingga 5 petang, Anda pula masuk jam 8.30 pagi hingga 7 petang, tanpa mengharap elaun lebih masa atau overtime. Timbulkan rasa seronok bekerja, sehingga Anda tak sedar masa berlalu.

3. Komited.

Jangan ambil kisah kalau orang lain kata yang Anda tunjuk rajin. Itu kerjaya Anda dan katakan pada diri bukan kawan-kawan Anda tu yang bayar gaji Anda. Untuk menjadi pekerja cemerlang, Anda perlu komited sepenuhnya, rajin dan belajar kemahiran-kemahiran lebih dari bidang tugas yang diperlukan. Jadi proaktif dengan rajin membantu kawan-kawan lain tanpa mengharapkan sedikitpun balasan. Tapi, rajin biar kena tempatnya, nanti Anda akan dipergunakan.

4. Bijak Menyelit.

Setiap tempat kerja pasti akan wujud sedikit 'politik'. Skill komunikasi interpersonal amat penting di sini. Anda perlu bijak menyesuaikan diri dengan mengkaji attitude rakan-rakan sekerja Anda. Pekerja yang cemerlang adalah seseorang yang tahu dimana ruang yang dia boleh menyelit tanpa perlu menjadi mangsa pada politik tempat kerja. Tapi, pekerja yang cemerlang takkan pernah bodek bossnya untuk cepat naik pangkat!

5. Belajar Tanpa Henti.

Pekerja yang cemerlang sentiasa memajukan dirinya dan prestasi kerjanya. Selain itu, dia akan sentiasa menambah ILMU, sama ada teori, praktikal ataupun penaakulan. Dia tahu apa yang perlu dipelajari dan tahu kemahiran apa yang perlu dikuasai. Dia menumpukan usaha pada benda yang benar-benar mendatangkan hasil, bukannya nak kuasai semua ilmu dan kemahiran dalam masa singkat.

     Minda lebih senang menangkap dan memahami apa yang Anda pelajari jika menumpu pada satu perkara dalam satu-satu masa, one thing at a time, step by step.

6. Hormat Semua Orang.

Tak kira siapa jua rakan satu tempat kerja dengan Anda, hormati dia dan cuba ceriakan dia, walaupun dia setakat seorang mak cik cleaner. Tapi, jangan suka menyakat dan mentertawakan kekurangan atau kesilapan orang lain, sebab tak semua orang boleh menerimanya.

     Menceriakan orang maksudnya Anda bijak membuat mereka rasa gembira dan membuat mereka rasa senang dengan Anda. Cemana? mungkin dengan berkongsi cerita-cerita lucu, beberapa jenaka atau membantu mereka di kala susah. Bila Anda ikhlas membuat orang lain jadi ceria, mereka akan hormat pada Anda. Takde gunanya Anda jadi 'bising' maca tin kosong di tempat kerja tapi suka mengacau tak tentu pasal, pedas dengan umpatan, sindiran dan komplain-komplain yang remeh. Pekerja yang cemerlang diukur dari segi perbuatan dan pencapaiannya, bukan percakapan. Jadi, diamkan mulut, rajinkan tangan bekerja.
7. Penampilan Kemas, Segak dan Teratur.

Ini yang paling akhir. Ingat, persepsi dan 'first impression' orang lain amat penting dalam suasana kerja. Pekerja yang cemerlang sentiasa mempamerkan kekemasan diri pada pakaian, gaya ketika bekerja, gaya jalan, gaya ketika makan, gaya berbual dan kekemasan di ruang tempat kerjanya. Anda boleh menilai attitude kerja seseorang hanya dengan melihat meja kerjanya saja.
     Kalau berserabut, berhambur, berterabur dan langsung tak teratur, itu tandanya orang tu bukan pekerja cemerlang dan akan payah untuk jadi cemerlang. Jika Anda duduk di meja yang selalu berterabur, ubah cepat perangai tu. Itu menampakkan Anda seorang yang pemalas. Apa pendapat Anda, adakah kata-kata saya ini betul? Beri pendapat Anda di ruang komen. Ia tidak semestinya berlaku pada semua orang. Ada juga pekerja yang mejanya berserabut, tapi performance kerjanya cemerlang !

     Akhir kata, beri komitmen pada kerja Anda sebaik mungkin dan jangan terlalu mengharap balasan dalam bentuk overtime lebih atau pujian semata. Ini resepi utama seorang pekerja cemerlang. Walaupun ada 7 tips di atas, saya lebih memandang pada konsep 'memberi', tak kira sama ada sudi memberi tunjuk ajar, ikhlas membantu, sudi bekerjasama, komited dengan tugasan, bijak berkomunikasi dan melakukan lebih dari apa yang sepatutnya.

    Lebih banyak Anda memberi, lebih banyak juga Anda akan menerima. Tumpukan pada 7 tips ini dan kecemerlangan dalam kerjaya akan datang dengan sendirinya pada Anda. Dijamin !



15 November 2010

Jadilah Remaja Berwawasan

PARA remaja atau muda-mudi adalah pewaris kita bagi masa hadapan. Mereka adalah aset yang berharga agar agama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan negara.

      Maka adalah penting bagi kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor perjuangan kita pada masa hadapan. Mereka mestilah menjadi golongan yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk membina masyarakat dan negara yang maju jaya, tetapi yang lebih penting adalah Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita. Kita sekarang sudah mempunyai contoh-contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai teladan.

     Kita mempunyai segolongan muda-mudi Islam yang berupaya menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan agama Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan terus disemai serta dipupuk subur lebih ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam sebagai teras kehidupan mereka.

      Bagaimanapun, masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai contoh, kita sering mendengar terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan anak luar nikah dan mencampakkan bayi di tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka. Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol, juga ketagihan dadah Adakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat Islam kita? Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh ‘khaira ummah’atau sebaik-baik umat? Semakin ramai remaja kita yang tanpa segan silu membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih berani lagi. Mereka berdua-duaan dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

     Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Mengapakah mereka berkelakuan demikian? Banyak faktor yang menyumbangkan peranannya. Bagaimanapun, yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing. Kalau pada zaman datuk nenek kita dahulu, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel yang mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan butang sahaja.

     Memang tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen kabel membawa kebaikan. Dengannya kita lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini. Masyarakat kita pula tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai faedah yang dapat diraih. Bagaimanapun, internet dan televisyen kabel juga membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai Islam.

     Jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan agama, maka kita juga mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita menonton filem Barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan Islam. Setiap kali kita menonton televisyen, kita akan mendengar perkataan-perkataan lucah. Setiap kali juga kita menonton televisyen, kita akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam. Bayangkanlah.

     Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam kehidupan mereka, disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh? Menerusi internet pula, lelaman lucah dengan mudah dilayari. Jika inilah sajian yang terhidang kepada anak-anak Islam kita semasa mereka sedang membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing kepada mereka. Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Setiap ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam. Anak-anak adalah amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-anak kita. Berapa ramai ibu bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-anak mereka?

     Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau internet di atas keruntuhan akhlak para remaja dan muda-mudi zaman sekarang ini. Sebaliknya, kita perlu merenung kembali. Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa, sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak? Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya dalam mendidik dan menanamkan keimanan dalam jiwa anak-anak Islam kita sehingga mereka tidak mudah terpedaya? Sudahkah anak-anak kita diberi pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh cabaran ini?

     Anak-anak secara semula jadi memandang ibu bapa mereka dahulu sebagai panduan hidup mereka. Sekiranya ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya ibu bapa sendiri terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah "bapak borek, anak rintik."

      Bagaimanapun, ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian itu, kita menyeru kepada para remaja dan belia kita, agar menyedari bahawa mereka adalah adalah harapan keluarga dan negara.

     Jika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai remaja atau belia Islam yang dinamik, maka masyarakat kita dan negara akan menjadi lebih maju lagi. Bagaimanapun, jika mereka lebih mementingkan keseronokan dan hiburan sehingga lalai daripada tanggungjawab, maka masyarakat dan negara kita akan menjadi lemah. Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai beberapa tanggungjawab asas yang penting untuk dipraktikkan pada zaman yang serba mencabar ini.

     Pertama, kita mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk berseronok semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari dan menimba ilmu pengetahuan dan menghayati agama Islam. Jadikanlah waktu tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak.

     Kedua, kita tidak harus mudah terpedaya akan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya yang baik daripada sesiapa pun dalam mencari dan meningkatkan ilmu. Bagaimanapun, kekalkan akhlak dan cara kehidupan sebagai orang Islam. Kita akan menjadi orang yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

    Ketiga, sebagai remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak hasil. Malah masa kita yang berharga itu sepatutnya dihabiskan dengan mencari ilmu atau menyumbang kepada masyarakat.

     Keempat, hormatilah ibu bapa kita, walaupun pada pandangan kita mereka tidak memahami jiwa dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa adalah pintu yang sentiasa terbuka untuk membawa kita ke syurga. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan mereka, maka katakanlah dengan nada yang lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah.

     Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’, ayat 23, yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua, maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan ucapan yang baik dan lembut."

    Remaja yang berwawasan adalah remaja yang tahu akan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, bangsa, agama, dan negara. Sememangnya zaman remaja penuh dengan pancaroba, namun dengan berpegang teguh kepada agama, insya-Allah, segala dugaan dan cabaran yang mendatang dapat ditangani atau dihadapi dengan jaya.

03 November 2010

Strategi penampilan diri

PENAMPILAN diri adalah salah satu aspek yang penting dalam penilaian peribadi seseorang murid. Ia bukan sahaja memberi satu gambaran yang positif terhadap nilai seseorang tetapi juga mampu mempengaruhi prestasi kecemerlangan murid itu sendiri.

Penampilan diri dapat dilakukan oleh murid melalui beberapa aspek berikut:

• Kekemasan diri
Anda harus kelihatan ”smart”, kacak, ”macho” segak dan lawa dari segi pakaian dan pengurusan diri. Ini bukan bermakna anda perlu membeli pakaian yang mahal dengan jenama yang terkenal atau menghias diri dengan solekan yang berlebihan tetapi sekadar memberi keselesaan pada diri sendiri dan kepada mereka yang melihat anda. Pakaian yang comot dengan keadaan diri yang tidak terurus menjadikan diri kita tidak bersemangat dan tidak dipedulikan orang. Lihatlah sahaja betapa segak dan mantapnya seorang murid yang berpakaian seragam sekolah yang lengkap atau berpakaian seragam bagi unit pakaian seragam. Mereka ini kelihatan ceria, berdisiplin, mudah mesra dan aktif dalam menjalankan tugas. Anda juga boleh kelihatan seperti mereka dengan mengenakan pakaian yang serba lengkap sebagai seorang murid sekolah.

• Budi pekerti dan akhlak mulia
Berbudi pekerti dan berakhlak mulia dapat dilihat melalui interaksi dengan guru, rakan-rakan dan ibu bapa. Percakapan yang bersopan adalah percakapan yang tidak menyakiti hari orang lain. Senda gurauan yang keterlaluan, ejekan dan sindiran kepada rakan boleh mengeruhkan suasana persahabatan dan akan menjadi bibit-bibit perselisihan dan pergaduhan. Jika anda mampu berinteraksi dengan lemah lembut, menggunakan bahasa yang sedap didengar seperti kata-kata pujian, penghargaan dan kata-kata semangat, anda mudah mendapat rakan dan anda akan sentiasa dihormati oleh mereka. Guru dan ibu bapa juga akan mudah didampingan jika anda dapat berinteraksi dengan mereka secara bersopan, berlemah-lembut dan sentiasa menghormati mereka.

• Perlakuan dan tabiat yang berkesan
Kedua-dua ciri ini berkehendakkan seseorang murid itu rajin berusaha, bersemangat dan bermotivasi tinggi tanpa berputus asa, proaktif, sentiasa patuh pada peraturan dan agama serta mempunyai keyakinan untuk berjaya. Murid seperti ini akan terus berusaha tanpa dipaksa, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum, rajin membuat ulang kaji, dan tidak merasa jemu bertanya kepada guru untuk menyelesaikan sebarang masalah pembelajaran. Mereka inilah yang akan mampu meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Pada hakikatnya, penampilan diri adalah amat diperlukan terutamanya pada kalangan murid di sekolah sebagai medan perjuangan ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

27 Oktober 2010

Mengapa Tidak Percaya Sebelum Berjaya.....

      SEKALI sekala, perasaan untuk mengubah diri muncul di celah-celah lamunan. Rasa ingin berubah sama ada daripada segi mental seperti memajukan diri di dalam bidang akademik, membuatkan kita berasa ingin masuk kolej semula. Inspirasi untuk berubah daripada segi material seperti ingin memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan tinggi juga akan menjadikan kita lebih rajin bekerja. Begitu juga, bila keinginan untuk berubah daripada segi spiritual muncul, kita menyimpan iltizam agar diri kita bertukar daripada seseorang yang pemarah kepada seseorang yang penyabar.

     Mungkin kita pernah menemui Albert, kawan sekolah yang kita gelar si kepala samseng dahulu, rupa-rupanya sudah menjadi jutawan. Atau terpandang Azman yang dahulunya kaki ponteng di sekolah, kini muncul sebagai seorang motivator di kaca TV. Ataupun, Ee Mei, yang dikenali begitu pemalu di sekolah kini sudah menjadi seorang ahli politik yang begitu petah berucap di Parlimen.

     Kejayaan-kejayaan sebilangan daripada mereka di sekeliling kita ini kadangkalanya tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Bila mengingati diri mereka yang dahulunya kita kenal sebagai jahat, culas mahupun pemalu, kita tidak menyangka mereka telah berubah menjadi lebih baik, rajin mahupun petah.

    Apabila kita merenung ke dalam diri, kita mungkin terasa mengapakah mereka yang toya di zaman persekolahan dahulu kini sudah menyerlah lebih hebat daripada kita sendiri. Mereka yang di zaman persekolahan dahulu menyanjung atau menghormati kita kerana lebih handal daripada mereka, kini telah mendahului kita dalam maraton kehidupan.

     Ke manakah langkah yang hendak dibawa dan selaju manakah larian hendak dicuba bila melihat teman-teman sudah jauh lebih hebat daripada kita? Yang pasti, kita tahu yang kita lebih handal daripada mereka dahulu, tetapi mengapa kini sebaliknya? Roda kehidupan yang berputar mengajar kita apa itu realiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan-kekuatan diri yang tercicir di sepanjang lorong kehidupan?

     Sebelum memulakan langkah, kita harus menyedari bahawa selama ini kita hanya percayakan sesuatu apabila telah berjaya menggapainya. Sikap inilah yang menjadikan kita terhenti-henti meranduk arus kehidupan. Ibarat berundur setapak setiap kali menapak dua langkah ke hadapan. Puncanya ialah kerana kita tidak percaya sebelum berjaya mencapai sesuatu.

     Di zaman persekolahan dahulu, kita berasa alangkah sukarnya untuk lulus PMR kerana terpaksa menghafal matapelajaran untuk tiga tahun iaitu daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Kebolehan mengasah pensel dengan pengorek pun harus diketepikan kerana kita perlu belajar mengasah pensel menggunakan pisau agar lorekan di kotak-kotak jawapan objektif dapat dilakukan dengan kemas. Akhirnya kita melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu kegusaran.

     Namun, setelah keputusan PMR diumumkan, kita yang tidak begitu rajin, dapat juga kelulusan yang baik, setanding dengan teman-teman lain. Ketika itu, baru kita percaya yang rupa-rupanya kita sepandai rakan-rakan sekelas. Menjelang peperiksaan SPM pun, minda kita memahat perasaan bahawa peperiksaan SPM itu sukar. Namun setelah keputusan peperiksaan diumumkan, kita berjaya juga. Untuk kali kedua di dalam hidup, kita percaya setelah berjaya.

     Merentasi kehidupan, kita lalui pelbagai kejayaan yang lain. Mendapat ijazah di universiti, kemudian berkasih dan akhirnya melangkah ke jinjang pelamin adalah di antara kejayaan hidup yang dilalui bagai mimpi. Kita hanya tersedar bahawa ia benar-benar terjadi hanya setelah kita berjaya mengharunginya.

     Bagi kaum wanita, kemampuan mengandung dan melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar dipercayai sehinggalah suara bayi sendiri nyaring mengetuk ke gegendang telinga. Bagi kaum lelaki, kejayaan menjadi ayah hanya dimengerti setelah melihat senyuman si kecil.

     Jelas sekali, sikap percaya setelah berjaya, sudah kita lalui berkali-kali dalam kehidupan. Apabila kita melalui pola ini secara berkali-kali, mengapa tidak kita ubah pola pemikiran untuk cuba percaya sebelum berjaya? Samada kejayaan itu berbentuk material, emosional mahupun spiritual, sedarilah, seandainya berjuta-juta insan yang lain telah lalui apa yang kita bakal harungi, hampir mustahil kita pula yang akan gagal.

     Ada perbezaan di antara mereka yang percaya setelah berjaya atau mereka yang percaya sebelum berjaya. Yang pertama hanya melahirkan manusia tidak apa-apa. Yang kedua melahirkan manusia yang apa-apa.

25 PETUA UNTUK DISENANGI

     Adalah penting untuk mempunyai ramai kenalan kerana ia boleh membantu melancarkan perjalanan karier anda. Anda akan mudah mendapat kerjasama yang diperlukan dalam apa jua hal. Ini secara tidak langsung bukan sahaja memudahkan kerja anda tetapi juga menghasilkan banyak peluang untuk anda mempertingkatkan diri dalam kerjaya.

     Oleh hal yang demikian, mulai sekarang, anda perlulah berkenalan dengan seramai orang yang mungkin. Namun bukan semua orang mudah mendapat kenalan baru ataupun mengekalkan perhubungan tersebut. Hakikatnya, ia sebenarnya bukan suatu perkara yang sukar.

Cubalah mengikuti 25 petua yang tertera di bawah ini:
1. Jangan sombong. Baik dari segi pergerakan badan, pandangan mata ataupun pertuturan. Anda tidak akan rugi apa-apa jika bersikap rendah diri.

2. Jangan lokek dengan senyuman. Walaupun senyuman amat penting, namum janganlah anda senyum tidak menentu, nanti anda akan dikatakan gatal pula.

3. Tunjukkan keikhlasan anda. Anda perlu ingat bahawa semua orang ingin dihargai dan merasa diperlukan. Jangan senyum atau menegur orang hanya ketika anda tidak mempunyai kawan. Setelah mendapat kawan, janganlah pula anda lupa bertegur sapa dengan orang lain.

4. Percaya akan diri sendiri. Kebanyakan orang senang bergaul atau berkawan dengan mereka yang mempunyai rasa percaya terhadap diri sendiri.

5. Mempunyai pendirian teguh. Secara umumnya ramai orang lebih menghargai mereka yang berani mengutarakan pendapat. Namun demikian, anda perlu pandai membawa diri, jangan berani secara membuta tuli. Bak kata pepatah “Hanya orang bodoh sahaja yang akan bercakap ketika ‘para malaikat’ sekalipun tidak berani membuka mulut”. 

6. Bersikap terbuka. Walaupun mempunyai pendapat sendiri, anda mestilah mendengar pendapat orang lain juga.

7. Jangan suka memotong percakapan orang lain kecuali betul-betul tidak mempunyai pilihan lain. Pastikan anda melakukannya secara halus dan berdiplomasi.

8. Berikan imej yang baik. Jangan bercakap terlalu lama supaya orang lain juga berpeluang untuk bersuara. Ketika anda berada di kalangan ramai, berusahalah agar kehadiran anda dirasai oleh mereka.

9. Jangan sesekali meminta pertolongan orang lain terutamanya pertolongan yang melibatkan hal peribadi sebelum benar-benar mengenali mereka. Ini adalah kerana sesetengah orang kurang senang dengan orang yang gemar meminta pertolongan.

10. Meminta pendapat atau buah fikiran adalah lebih baik daripada meminta bantuan terus. Cara begini akan lebih menimbulkan rasa simpati dan keinginan orang lain untuk membantu anda.

11. Balaslah panggilan telefon orang lain dengan sopan. Cara ini akan membuatkan mereka rasa senang hati untuk menjawab panggilan anda pada masa depan.

12. Hubungi kenalan anda secara rutin. Bukannya apa, sekadar bertanya khabar atau ‘say hello’. Ini penting agar mereka tidak melupakan anda.

13. Sentiasa menjaga perhubungan dengan menghantar kad perayaan atau tahun baru.

14. Jangan cara berkomunikasi anda terutamanya dengan mereka yang sering memberi informasi yang berguna. Gunakanlah bahasa yang bersesuaian dan nada yang terkawal.

15. Sentiasa menjaga penampilan anda. Ini adalah kerana sesetengah orang suka menilai orang dari segi luaran. Tetapi jangan anda turut berbuat sedemikian ketika berurusan dengan pelanggan. Anda juga perlu mengenakan pakaian mengikut situasi agar dapat diterima dalam apa juga keadaan dan golongan orang.

16. Mempunyai cita-cita dan selalu bergerak aktif. Orang yang mempunyai matlamat dan giat berusaha memang sentiasa disenangi. Jangan menunggu sesuatu untuk berlaku sebaliknya berusahalah agar sesuatu itu terjadi.

17. Jangan senang berputus asa, sebaliknya selalu tampil optimis.

18. Berikan penghargaan kepada mereka yang telah menghulurkan bantuan walaupun bantuan itu kecil. Setakat mengucapkan terima kasih sudah memadai bagi menjaga perhubungan.

19. Elakkan diri daripada bergosip. Jika anda tidak dapat mengelakkan, adalah lebih baik bagi anda menjadi pendengar sahaja dan bukannya penyebar. Orang yang suka bergosip tentang orang lain akan dipandang serong.

20. Walaupun anda tidak suka bersosial, namum apa salahnya anda sesekali memenuhi undangan. Jangan sampai anda dicap sebagai anti social.

21. Sebelum menegur kesilapan orang lain, selidik dahulu keperibadiannya. Dia mungkin adalah seorang yang tidak dapat menerima teguran.

22. Sentiasa berfikiran matang.

23. Jangan cepat rasa bangga diri apabila dipuji. Ini adalah kerana kadang-kadang pujian itu tidak ikhlas dan hanya untuk mengambil hati.

24. Jangan cepat melenting apabila dikritik. Sentiasalah berfikiran positif.

25. Banyak membaca terutamanya surat akhbar. Selain sebagai pengetahuan am, ia juga membantu anda memahami topik perbualan orang lain sekali gus mendorong orang lebih menghormati anda.

Membentuk tabiat positif

      Sesungguhnya tabiat seseorang itu mempengaruhi tindakan serta prestasi diri sepanjang tahun. Sebagai seorang murid anda harus membentuk tabiat positif di awal tahun lagi agar segala tindakan anda mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran.

      Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Begitulah pepatah melayu yang memberi maksud bahawa sesuatu kesedaran harus berlaku di peringkal awal agar mencukupi masa untuk membetulkannya. Oleh itu bagi diri murid membentuk sikap positif itu haruslah dilakukan sekarang agar ia dapat memberi ruang meningkatkan prestasi diri tanpa berasa bosan atau menggunakan faktor masa sebagai alasan. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti berikut:


• Positif terhadap kesukaran yang dihadapi: Terdapat segelintir murid yang menggunakan alasan bahawa belajar itu amat sukar untuk difahami. Memang betul dalam proses pembelajaran pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dihadapi. Menghafal sifir, menghafal formula, mengingati fakta, mencari bahan isi karangan, melakar peta minda, menyelesai masalah matematik dan sebagainya adalah sukar. Walau bagaimanapun murid-murid harus ingat apa sahaja yang dilakukan itu sukar jika tidak dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu. Seorang anak kecil amat sukar untuk berjalan tanpa bimbingan dan kaedah yang tertentu yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu ingatlah bahawa sebarang kesukaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan memerlukan usaha untuk mencari kaedah jalan penyelesaiannya.

• Peka terhadap masa: Masa berjalan dengan begitu pantas tanda disedari. Oleh itu rugilah bagi mereka yang tidak peka terhadap perjalanan masa. Untuk mengelakkan kita menjadi rugi maka seseorang murid harus membuat perancangan masa untuk mengatur aktiviti harian agar ia dapat dipenuhi dengan lebih bermakna. Jadual waktu belajar di rumah, jadual aktiviti kokurikulum, jadual untuk aktiviti rekreasi harus dibina, dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa bertangguh-tangguh. Sifat bertangguh-tangguh seperti bertangguh untuk membuat kerja rumah, bertangguh untuk belajar, bertangguh untuk bertanya adalah diantara punca kepada pembaziran masa. Akhirnya semua kerja tidak beres dan istilah kesuntukan masa dijadikan alasan kegagalan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

• Yakin terhadap kebolehan diri: Allah mencipta manusia untuk mencapai kejayaan. Oleh itu sejak kecil kita dilahirkan sudah difitrahkan oleh Allah iaitu kebolehan atau potensi untuk digunakan sebagai penentu kejayaan. Kebolehan dan potensi ini harus diterokai, dicungkil dan diusaha dengan penuh keyakinan untuk mendapatkan hasilnya. Keyakinan merupakan tenaga dalaman yang mampu menjana minda dan menggerak segala anggota untuk berusaha mencapai apa yang diingini. Seseorang yang tidak yakin terhadap dirinya akan sentiasa mengalah, tidak mahu mengambil bahagian secara aktif dalam sebarang aktiviti serta mudah berputus asa, selalu meyindiri kerana beranggapan dirinya hina jika dibandingkan dengan orang lain.


Tambah kapsyen

• Berani mencuba untuk kebaikan: Ramai murid berasa malu untuk bertanya atau berasa tersinggug apabila berlakunya sesuatu kesilapan ketika belajar di mana sifat ini harus dikikis dari peringkat awal lagi. Malu bertanya sesat jalan!. Itulah gambaran yang diberikan dalam pepatah melayu yang membawa maksud seseorang yang malu untuk mendapatkan maklumat akhirnya menemui kegagalan.

      Pembentukan tabit positif ini haruslah diberi penekanan di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mengapai kejayaan.

Keazaman membina kekuatan

     KEAZAMAN merupakan satu kehendak dalaman ke arah mencapai sesuatu yang diingini. Walaupun ia kelihatan mudah dan kebanyakan pelajar sudah mempunyai keazaman tetapi kemungkinan ia hanya sekadar terpendam di lubuk hati tanpa menjadikannya satu realiti.

      Kenapa perlunya ada keazaman di dalam diri kita? Apabila seseorang itu berazam ia sebenarnya sedang melalui proses pengumpulan tenaga yang akan membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman inilah yang dipanggil semangat yang akan menjadi pendorong dan penggerak tindakan yang dijelmakan melalui kekuatan fizikal.

      Sebagai contoh apabila kita berazam mendapatkan sesuatu yang menarik, kekuatan yang ada pada diri kita itu menjadikan kita seolah-olah tidak sabar lagi untuk mendapatkannya. Kemungkinan semalaman kita tidak boleh tidur memikirkannya walaupun sebelum dari itu diri kita cepat mengatuk serta tidur lebih awal. Inilah yang dikatakan tenaga dalaman yang mampu membina kekuatan kepada minda dan anggota fizikal. Ini bermakna seseorang yang kelihatan lemah, tidak berminat untuk belajar, kerap bosan adalah orang yang lemah dari segi kekuatan dalaman yang tidak mampu menggerakkan anggota fizikalnya untuk bertindak. Mereka ini sudah pasti tidak mempunyai matlamat, cita-cita serta tidak ada keazaman diri.

      Setiap keazaman perlulah disusuli dengan tindakan agar dapat dimanfaatkan pada diri kita. Untuk mengelakkan keazaman menjadi hanya seperti angan-angan Mat Jenin, maka keazaman itu haruslah mempunyai beberapa ciri berikut:-

• Penumpuan keazaman: Keazaman seharusnya ditumpu pada sesuatu yang spesifik. Tanya diri kita apa yang kita ingini pada tahun ini secara jelas dan terperinci sehingga kita faham hala tuju keazaman kita. Elakkan keazaman yang bersifat samar-samar atau yang tidak menentu iaitu yang sentiasa berubah-ubah kerana ini akan menyukarkan perlaksanaannya nanti.

Boleh dilaksanakan: Biarlah keazaman itu tidak mustahil dilakukan. Oleh itu keazaman yang kita ingini itu perlulah sepadan dengan kemampuan serta dapat dilaksanakan secara progresif.

Mempunyai perancangan: Perancangan adalah penting kerana ia menjadi penggerak tindakan yang akan dilakukan. Perancangan boleh berbentuk jadual pengurusan masa perlaksanaan, sumber atau coretan refleksi yang mencatatkan tahap pencapaian atau kemajuan tindakan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

• Disiplin diri: Kesabaran, pengorbanan dan ketelusan merupakan aspek disiplin diri yang harus diaplikasikan dalam kehidupan kita terutamannya dalam melaksanakan segala keazaman yang kita ingin dicapai. Segala bentuk amalan yang menimbulkan keselesaan dan keseronokan sehingga menjejas keazaman kita haruslah dikorbankan. Ketekalan dalam melaksana secara berterusan serta kesabaran menunggu kejayaan hasil daripada usaha yang dilakukan merupakan faktor yang penting demi untuk mengelakkan diri kita daripada merasa bosan atau berputus asa.

     Sesungguhnya keazaman itu harus ada pada diri kita agar semangat dalaman akan sentiasa membara di jiwa ke arah pengumpulan kekuatan dalaman serta membentuk tindakan yang berfaedah untuk memberi kesempurnaan dalam kehidupan kita.

11 Oktober 2010

Gangguan …..hilang tumpuan

PERNAHKAH anda diganggu? Siapakah yang mengganggu anda? Bagaimanakah anda diganggu dan apakah kesannya terhadap diri anda?

      Gangguan bukan sahaja berlaku dari segi fizikal sahaja tetapi dari segi mental dan perasaan hati. Gangguan fizikal melibatkan anda disentuh oleh rakan-rakan anda pada anggota badan yang menyebabkan timbulnya rasa ketidakselesaan pada diri anda. Sentuhan ini mungkin bersifat lembut seperti mengusap bahu atau memeluk badan anda. Ia juga mungkin bertukar menjadi lebih kasar sekiranya melibatkan kesakitan seperti menepuk badan, mencubit paha atau tangan, menampar pipi dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada hanya untuk bergurau atau sebagai satu tindakbalas yang menunjukkan rasa ketidakpuasan terhadap diri anda.

      Gangguan mental kebiasaannya akan berakhir dengan gangguan perasaan hati atau jiwa. Gangguan ini mungkin disebabkan terjadinya sesuatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan seperti peristiwa kesedihan yang menimpa diri dan keluarga anda, peristiwa yang memalukan diri anda, kegagalan yang dialami, tekanan daripada keluarga dan rakan, kesibukan dan kesuntukan masa, kelalaian anda melengkapkan sesuatu tugasan dan sebagainya.

      Bagi golongan remaja pula terdapat beberapa sebab terjadinya gangguan mental dan perasaan hati. Ia berpunca daripada masalah perhubungan antara remaja lelaki dan perempuan, salah faham dengan rakan, perhubungan yang tidak akrab dalam keluarga, jurang generasi lama dan baru serta budaya perlakuan yang keterlaluan.

      Dalam keadaan ini peristiwa yang berlaku terhadap diri anda sama ada dari segi fizikal, mental atau perasaan akan sentiasa bermain dan terbayang dalam fikiran. Bayangan ini akan mewujudkan pelbagai perasaan seperti marah, sedih, sayu dan sebagainya. Konflik dalam diri anda akan terjadi yang akan mengakibatkan berlakunya pemberontakan dalam diri anda.

      Sikap ini akan menyebabkan anda tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran. Pada zahirnya anda tidak dapat menunjukkan satu bentuk peribadi yang baik dan mulia. Anda tidak ceria, murung, kurang bertenaga, suka bersendirian, prestasi pelajaran terjejas atau anda akan menjadi seorang pelajar yang agresif, suka mengganggu rakan, suka menonjol diri secara biadap dan tidak ingin kepada pembelajaran.

       Pelajar begini akhirnya akan menemui kegagalan jika tidak dibimbing dan dibendung. Oleh itu langkah-langkah perubahan diri haruslah dilakukan dengan segera oleh anda sendiri demi untuk mempastikan masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai oleh anda.

7 Peralatan Bertanya untuk menyoal minda

Anda tentu ingin sekali memiliki kemahiran menyoal minda sendiri, bukankah begitu? Tetapi bagaimana untuk melakukannya? (Sebenarnya, anda telahpun menyoal minda sendiri dengan bertanya soalan ini!). Bagaimana untuk menyoal soalan-soalan yang berkualiti kepada minda kita sendiri, supaya tahap pemahaman kita mampu ditingkatkan lagi?

      Ermm.. Soalan minda yang baik! Sebenarnya, kebanyakan pelajar yang asyik menyoal minda dengan soalan yang negatif bukanlah kerana mereka suka dan mahir menyoal soalan yang negatif; tetapi ia berlaku kerana ramai orang tidak berapa mahir untuk mengemukakan soalan positif sebanyak yang mungkin. Oleh kerana mereka tidak pernah dilatih untuk bertanyakan soalan-soalan yang berfaedah, maka otak akan menjadi ’bosan’ dan inginkan ’sesuatu untuk dilakukan’. Akhir sekali, otak akan mula bertanyakan soalan-soalan yang boleh membantutkan potensi minda yang sebenar. Jadi, dengan kemahiran bertanyakan soalan yang berkualiti, secara automatik dapat ’menyibukkan’ otak anda daripada berfikir secara negatif.
Photobucket

Jadi, bagaimana untuk mahir menyoal minda sendiri?

Pertama, jika anda tidak tahu apa yang boleh dan patut ditanya, anda boleh mulakan dengan menggunakan 7 Peralatan Bertanya. Apakah dia peratalatan-peralatan itu? Ia adalah:

Apa

Siapa?

Di mana?

Bila?

Berapa? (banyak, lama, sukatan, jarak, tempoh, dan sebagainya)

Kenapa?

Bagaimana?

Anda sudah tentu tahu maksud dan fungsi ketujuh-tujuh kata soal di atas. Apa yang berlaku ialah, ramai orang sudah tahu maksud dan fungsi ketujuh-tujuh kata soal di atas, tetapi tidak betul-betul menggunakannya untuk meningkatkan prestasi diri. Di sini saya ingin memberitahu anda bahawa, semakin cekap anda menggunakan ketujuh-tujuh patah kata di atas, semakin hebat tahap kefahaman anda dalam pelajaran. Cubalah!

Teknik untuk meningkatkan fokus ketika belajar

1. Berfikiran positif. Anggapkan masa mengulangkaji pelajaran sebagai masa untuk mempelajari sesuatu, bukan untuk melaksanakan tugasan-tugasan sukar. Jika anda asyik memfokuskan fikiran kepada kesukaran dan kepayahan, otak anda akan menjadi penat sebelum anda bermula lagi. Bayangkan anda sedang mencuba keupayaan diri, belajar sesuatu yang baru, dan mempertingkatkan diri sendiri.

2. Jangan pedulikan kebisingan di sekeliling. Anda tidak boleh elakkan kebisingan. Hanya tempat dan waktu tertentu sahaja anda boleh mendapatkannya, tetapi ia bukannya mudah. Jangan jadi terlalu cerewet. Belajarlah untuk belajar di tempat yang ‘agak’ bising. Gunakan kaedah ‘Jangan jaga tepi kain orang’ jika anda ingin ‘mengasingkan diri’ daripada segala kebisingan itu.

3. Gunakan kaedah labah-labah. Jika anda membaling segumpal kertas ke sarang labah-labah, ia akan mengesan satu bentuk gegaran lantas bergegas ke tempat itu. Apabila ia dapati hanya segumpal kertas, ia akan berpatah balik. Jika anda membaling kertas untuk kali kedua, labah-labah itu tidak akan bergegas lagi, kerana dia tahu jenis gegaran kertas yang tidak boleh dimakan itu. Begitu juga dengan anda. Jika anda sedang belajar di dalam perpustakaan, pasti ada orang yang lalu lalang membuka pintu, atau membelek-belek buku, atau berbisik-bisik. Cukuplah hanya sekali anda memandang ke arah mereka. Selepas itu, abaikan mereka. Jadilah seperti labah-labah yang tidak ‘tertipu’ untuk kali kedua.

4. Pastikan semuanya ada di atas meja. Buku, alatulis, dan peralatan yang diperlukan sudah tersedia sebelum anda memulakan ulangkaji anda. jangan biarkan kosentrasi anda terganggu hanya semata-mata terlupa untuk membawa pemadam pensil, atau kertas catitan, atau kalkulator. Cubalah untuk berada di meja belajar sekurang-kurangnya setengah jam sebelum anda bangun untuk melakukan perkara lain.

Photobucket5. Lupakan yang lain, penuhkan otak anda dengan apa yang akan dipelajari. Buat satu senarai soalan-soalan dalam kepala anda tentang apa yang anda ingin belajar kali ini. Timbulkan pertanyaan-pertanyaan yang mendesak akal supaya berfikir. Dengan ini, otak akan sentiasa ‘melompat-lompat’ dari satu idea ke satu idea yang lain.

6. Jangan tahan lapar. Lapar boleh menghilangkan tumpuan anda tidak kira apa jua keadaan anda. kadangkala ada pelajar yang pergi ke sekolah atau memasuki dewan peperiksaan tanpa makan terlebih dahulu. Akhir sekali kelaparan merobek usus mereka dan tiada satu pun jawapan yang dia ingat. Usah diseksa perut anda yang sedang menyanyi itu. Luangkan sedikit masa untuk mengisi sehingga hilang kelaparan itu.

7. Buat senarai semakan hilang tumpuan. Bunyinya agak menggelikan hati, tetapi ia penting untuk mengingatkan anda, berapa anda telah hilang tumpuan. Bawalah satu kertas kecil, ditulis dengan tarikh dan masa. Setiap kali anda hilang tumpuan, tandakan (?) pada senarai semakan itu. Buat secara tetap dan berterusan sehingga anda benar-benar menyedari betapa banyak diri anda ‘tergelincir daripada landasa yang tepat.