22 September 2010

Kebahagiaan tercerna daripada ketenangan jiwa

ALANGKAH bahagianya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan. Sebaliknya, amat gelisah sekali buat seseorang yang jiwanya mengalami kebingungan serta kegoncangan.

Dalam kehidupan ini pasti kita bertemu dengan dua jenis manusia, iaitu manusia yang jiwanya tenang dan manusia yang jiwanya sering merasa gelisah.

Remaja tentu pernah mengalami saat diri terasa bingung dengan masalah menyebabkan jiwa menjadi gelisah dan tidak menentu.

Ketika itu, terasa tiada tempat untuk mengadu, hampir putus asa dalam keadaan terkapai-kapai bersendirian. Saat itu, kita amat memerlukan sesuatu yang dapat membersihkan jiwa dan fikiran.

Jika penyakit kencing manis akibat gula berlebihan, kolesterol tinggi kerana banyak lemak, stress kerana tekanan, maka jiwa yang tidak tenteram pun ada sebabnya.

Sebab utamanya adalah dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan. Berbanding dengan racun biasa yang memudaratkan anggota badan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang ditimbulkan anggota badan. Tujuh anggota badan yang paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata perlu digunakan bagi tujuan melihat perkara yang baik dan indah.

Bukannya perkara haram dan lucah. Telinga adalah untuk mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah. Perut pula mesti diisi dengan yang halal.

Yang buat kita tidak tenang juga adalah disebabkan oleh hati yang kotor. Bukan saja dengan dosa tetapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat adalah ketenangan yang dibawa, yang dimaksudkan dengan rumah adalah hati, yang dimaksudkan dengan anjing adalah sifat dan akhlak tercela.

Maknanya kalau kita ada akhlak dan sifat tercela, hati yang bertindak sebagai rumah sudah menjadi kotor dan ketenangan tidak akan menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggalnya dan menetap syaitan sebab perangai buruk ditaja syaitan.

Sifat tercela yang membuat kita risau dan sasau ialah hasad dengki iaitu tidak senang lihat orang senang, takbur, ego serta sombong dan inilah stress pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya.

Begitu juga ujub dan riak. Mereka berasa dialah yang sempurna sedangkan orang lain rendah. Selain itu mereka mengharapkan pujian dan sanjungan. Apa lagi jika seseorang itu bersifat bakhil dan kedekut pasti tidak akan pernah tenang hatinya kerana sentiasa terikat dengan harta, cinta harta.

Apa lagi cintakan kemasyhuran yang langsung tiada perasaan rendah diri sudah pasti hati akan berasa gelisah. Sifat pemarah membuat orang menjadi pendendam, hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Belajar melalui kesilapan

BELAJAR melalui kesilapan bukan bermakna anda perlu melakukan kesilapan ketika belajar. Ungkapan tersebut bermaksud setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi pengajaran, menginsafi ketelanjuran, menyedari kelemahan diri dan memberi ruang untuk membuat penambahbaikan.



• Memberi pengajaran
Seseorang itu boleh belajar bukan sahaja daripada guru atau sumber lain tetapi daripada setiap kesilapannya. Sebagai contoh jika seorang murid melakukan kesilapan dalam latihan matematik, kesilapan tersebut dengan secara tidak langsung memberi pengajaran atau maklumat tentang jawapan atau kaedah yang sebenarnya yang harus dilakukan. Dengan cara ini dia sudahpun memperolehi pengetahuan baru.



• Menginsafi ketelanjuran
Setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ia boleh dijadikan alasan setiap kali kita melakukan kesilapan. Setiap hukuman yang diterima akibat ketelanjuran yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, seperti melanggari peraturan atau garis panduan disiplin sekolah harus diinsafi, dijadikan iktibar serta bertekad untuk meninggalkannya. Dalam hal ini keinsafan yang kita alami ini merupakan proses belajar yang mampu memberi bimbinga ke arah jalan yang benar.

• Menyedari kelemahan
Kekuatan dan kelemahan sentiasa berada di diri kita. Seseorang yang kuat dari segi fizikal mungkin lemah dari segi mental atau kerohaniannya. Begitulah juga sebaliknya. Oleh itu kesilapan yang dilakukan itu memberi isyarat kepada kita bahawa di samping kekuatan yang kita peroleh terdapat lagi banyak kelemahan yang perlu diatasi. Dengan cara ini manusia belajar supaya dapat mengelakkan diri daripada sifat angkuh, riak atau sombong terhadap apa yang dimiliki. Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh bangga dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Kebanggaan mampu meningkatkan aras harga diri yang sekali gus menjadi faktor penggerak atau motivasi ke arah kejayaan.

 
      Walau bagaimanpun kebanggaan ini seharusnya digandingi dengan kesyukuran. Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong. Kesyukuran mendekati diri kita kepada Allah dan menghargai setiap pemberianNya kepada kita serta mampu memupuk rasa bertimbang rasa kepada yang tiada. Inilah satu pengajaran yang amat besar pada diri kita.

• Membuat penambahbaikan
Hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Ungkapan ini menunjukkan setiap hari kita perlu melakukan perubahan diri untuk menjadi cemerlang. Setiap kelemahan bukan berakhir dengan kekecewaan tetapi perlu membuat penambahbaikan untuk mencapai kejayaan.
Justeru, murid-murid tidak seharunya takut atau malu jika berlaku kesilapan ketika belajar. Anda harus mengkaji setiap kesilapan yang dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan yang bijak untuk mengatasinya.
Ingat! setiap kesilapan memberi ruang dan peluang untuk anda membaikinya dan hasilnya kejayaan yang cemerlang menanti anda.

21 September 2010

Remaja & Komunikasi

      Komunikasi adalah proses menyampaikan mesej yang berlaku di antara dua insan dan boleh berlaku di dalam satu kumpulan. Bila idea atau pandangan berlaku, ia dikongsi bersama dan akan mendapat tindak balas di antara kedua orang tersebut. Ini bermakna seseorang itu berkomunikasi dengan seorang yang lain.

     Komunikasi secara lisan ("verbal"), meliputi perkongsian idea atau luahan pendapat melalui kata-kata dan komunikasi bukan lisan ("non-verbal") merupakan perkongsian perasaan yang ditunjukkan melalui pergerakan badan. Melalui komunikasi lisan, manusia belajar apa yang anda fikir dan melalui komunikasi bukan lisan ("non-verbal"), mereka belajar tentang perasaan kita.

      Komunikasi sangat penting dalam kehidupan terutama di alam remaja. Dengan komunikasi, seseorang remaja itu mampu meluahkan perasaannya dengan jelas dan mengelak dirinya disalah anggap. Komunikasi juga membantu orang lain memahami apa yang anda fikir dan rasa, dalam pelbagai keadaan. Masalah dan perbalahan dapat diatasi melalui komunikasi berkesan. Komunikasi berkesan melibatkan pendengar yang baik di kedua-kedua belah pihak dan jujur dalam perbincangan.



     Pendengar yang baik akan benar-benar memberi perhatian atau tumpuan kepada apa yang dibicarakan oleh rakan mereka.



      Banyak kajian telah menunjukkan berlakunya, perhubungan positif hasil dari komunikasi yang baik di antara ibu bapa dengan remaja.



Komunikasi berkesan antara ibu bapa atau orang dewasa dengan remaja akan menghasilkan tahap keyakinan diri yang tinggi, peningkatan pencapaian, lebih afektif dan kesihatan mental yang baik di kalangan remaja. Remaja yang dapat menyesuaikan diri dengan baik, dikaitkan mereka yang telah menerima komunikasi positif dan negatif seimbang daripada ibu bapa mereka.



      Cara berkomunikasi sesebuah keluarga itu akan menyumbang kepada suasana interaksi harian sesebuah keluarga. Belajar menggunakan kemahiran mendengar dengan anak remaja anda. Selepas berlatih, perkenalkan idea anda kepada keluarga untuk digunakan dalam komunikasi agar lebih berkesan mengikut beberapa panduan yang diberi. Jadilah pendengar yang baik. Anda pasti dapat melihat bagaimana kemahiran berkomunikasi mampu mengubah keluarga anda.


Panduan komunikasi berkesan
Berikut adalah beberapa maklumat untuk dijadikan panduan berguna untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi di kalangan ahli keluarga anda.



a) Tunjukkan anda memang berminat semasa berbual

• Lihat dan tunjukkan minat yang mendalam

• Ingat! Jadikan suasana yang sesuai agar remaja bebas mengeluarkan pendapat



b) Sentiasa beri tumpuan

• Sabar dan luangkan masa untuk berkomunikasi

• Jangan mencelah dengan cerita anda yang lain

• Remaja ingin rasa dihargai



c) Berhenti bercakap
Anda tidak mampu mendengar apa yang dibicarakan oleh anak anda sekiranya anda sibuk untuk bercakap.


d) Pendengar yang aktif

• Pendengar yang baik mampu menyimpulkan fakta-fakta untuk pemahaman mereka

• Jangan teragak-agak bertanya semasa perbualan tersebut. Dengan banyak bertanya anda akan lebih tertumpu pada perbincangan tersebut

• Selain itu, ia akan menggalakkan remaja meneruskan perbincangan dan sekali gus menunjukkan anda adalah pendengar yang setia



e) Menyesuaikan diri anda dengan emosi mereka, kecuali dalam situasi mengancam

• Anda boleh membantu mereka berasa selesa dan diterima jika anda mampu menyesuaikan diri dengan emosi mereka

• Itu akan menunjukkan anda seorang yang empati dan mampu memberi ketenteraman

• Anda membawa mesej bahawa anda memahami apa yang diluahkan dan mengenal pasti masalah mereka dengan jelas



f) Tidak terus memberi nasihat kecuali diminta

• Dengar apa yang diluahkan dan jangan mencelah atau memberi pandangan

• Biarkan remaja meneruskan luahan mereka sehingga selesai

• Tugas anda adalah mendengar dan jangan sesekali memberikan hukuman

• Jika anda ingin mengkritik dan menasihati, pastikan ianya membina

• Jangan menghakis keyakinan mereka kepada anda



g) Bayangkan diri anda seperti mereka

• Ibu bapa seharusnya mempunyai kelebihan memahami perspektif seseorang remaja

• Itu akan menunjukkan anda menghormati pandangan mereka walaupun anda tidak bersetuju dengan sesetengahnya



h) Sabar dan kawal emosi

• Kemarahan anda boleh menyebabkan berlakunya salah faham apa yang sebenarnya anak remaja anda ingin luahkan

• Anda harus memberi masa untuk bertindak balas dan ini akan membuat anda tenang dan dapat mengekalkan kesabaran

i) Galakkan anak anda meneruskan perbincangan
• Walaupun anda berada dalam keadaan yang agak sensitif dan beremosi, tunjukkan bahawa anda masih berminat dan prihatin dengan topik tersebut
• Fikirkan sesuatu yang positif terhadap remaja
• Galakkan mereka meneruskan perbualan. Anda boleh berdiam sejenak, tetapi berdiam secara berterusan mungkin akan menyebabkan komunikasi itu tidak menjadi

j) Gembira
• Jadikan perbualan positif dengan menyatakan bahawa anda mahu anak anda menyelesaikan masalah mereka
• Jangan memerangkap mereka dengan kesilapan yang lepas
• Pandangan positif akan memberikan kesan perbualan itu produktif serta membina