03 Mac 2011

Kesedihan Bukan Keharusan

Bersedih itu sangat dilarang. Kesedihan itu hanya akan memadamkan api motivasi, membunuh roh semangat & membekukan jiwa. Kesedihan itu ibarat penyakit demam yang membuat tubuh  menjadi lemas dan tidak berdaya. Mengapa berlaku sedemikian?

Mengapa? Kesedihan hanya memiliki daya yang menghentikan dan bukan menggerakkan. Rahsia untuk menghindari itu semua adalah dengan menanamlan prinsip bahawa kesedihan adalah sesuatu yang boleh ditangani, bukan sesuatu yang tidak boleh dikawal sehingga kita harus menyerah kepadanya. Kesedihan juga sama sekali tidak mendatangkan kebaikan bagi hati, bahkan ia merupakan sesuatu yang disenangi oleh syaitan. Maka, syaitan akan selalu berusaha agar seseorang itu bersedih untuk menghentikan setiap aktiviti dan niat baiknya. Kesedihan itu bukanlah sesuatu yang dicari-cari dan bukan pula sesuatu yang diharapkan. Kesedihan adalah sahabat karib kecemasan. Adapun perbezaan di antara keduanya ialah: apabila sesuatu perkara yang tidak disukai hati itu dan ia belum terjadi, ia akan menimbulkan kecemasan. Namun, apabila sesuatu kejadian yang tidak diingini dan ia terjadi, maka ia akan menimbulkan kesedihan, Persamaannya, kedua-duanya boleh melemahkan semangat beraktiviti dan mematikan kehendak hati untuk berbuat suatu kebaikan.

Kesedihan boleh mengotori kehidupan dan ia juga merupakan suntikan beracun yang berbisa bagi jiwa yang  boleh mengakibatkan kelesuan, keluhan dan kebingungan. Kesedihan juga boleh membawa kepada kemurungan yang menggelapkan hati dan akan membuat seluruh keindahan menjadi layu. Dengan kesedihan, keadaan yang baik berubah menjadi buruk dan kehidupan yang menggembirakan menjadi mati kerana kesedihan pada akhirnya akan menumbuhkan pesemisme, penyesalan & kebinasaan diri yang tiada tara. Namun, pada tahap tertentu, kesedihan memang tidak dapat dihindari dan ianya pasti akan dilalui oleh seseorang. Oleh itu, sebaiknya anda berusaha untuk sentiasa gembira dan berlapang dada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan