19 Mac 2010

Motivasi Diri Semasa Berduka

      Sebagai manusia biasa, kita semua mungkin sudah biasa merasa pelbagai perasaan. Ada kalanya kita gembira dan teruja. Ada kalanya kita sedih dan sengsara. Satu perkara yang jelas, kebanyakan daripada kita sentiasa menginginkan rasa gembira dan ceria menguasai diri. Apabila hati gembira dan semangat yang tinggi menguasai diri, kita terasa seperti tidak ada satu perkara pun yang mustahil untuk dilakukan. Namun hakikatnya, perasaan itu semua bukan hadir setiap masa. Lebih menakutkan, lebih banyak ketikanya diri kita hanya dibelenggu rasa tidak selesa, marah, sedih, resah dan gelisah…



     Pernahkah kita merasa begitu sedih sehingga langsung tidak mampu berbuat apa-apa? Pernahkah kita merasa begitu murung sehingga perkara yang selalunya menggembirakan kita pun gagal menjalankan tugasnya? Pernahkah kita merasa sedih, lemah semangat dan hilang keyakinan diri sehingga kita rasa seperti terperangkap dan tidak boleh lagi melarikan diri?

     Apakah yang kita akan  lakukan untuk mengeluarkan diri kita daripada belenggu perasaan-perasaan tersebut? Maksudnya, jika anda sedang berduka, apakah yang anda lakukan untuk menceriakan diri anda semula? Jika anda sedang hilang keyakinan diri dan lemah semangat, apakah yang anda akan lakukan untuk meningkatkan semula semangat dan keyakinan diri tersebut?


     Apa yang patut kita fikirkan bersama ialah di saat kita sedang merasa semua perasaan yang negatif itu, apakah yang boleh kita lakukan agar diri kita pulih seperti biasa. Malah, apakah yang boleh kita lakukan agar bukan sahaja kita pulih, malah bangkit lebih hebat daripada biasa.

"SAYA NAK BERUBAH"
Percaya atau tidak, kata-kata ’saya nak berubah’ itu sahaja merupakan satu petunjuk bahawa anda ada kemampuan untuk menjadi seorang yang lebih hebat. Bagaimana nak berubah? Macam mana? Apa nak buat? Ada 3 langkah awal yang boleh dilakukan, iaitu:

i) Pertama, lupakan semua masalah itu seketika dan ambil sekeping kertas dan pensel. Tuliskan di atas kertas itu apa sahaja yang anda mahu dapat dalam hidup. Tulis apa sahaja. Mungkin anda mahu jadi pelajar yang pandai dalam subjek tertentu, mungkin mahu mendapat lebih perhatian daripada ibu bapa atau mungkin anda mahu ada hubungan yang baik dengan guru di sekolah. Selepas tulis, pejamkan mata seketika, dan cuba bayangkan jika  semua itu menjadi kenyataan. Sangat penting, rasakan apakah perasaannya jika ia benar-benar menjadi kenyataan. Saya percaya jika itu semua tercapai, anda akan rasa lebih gembira, teruja dan mungkin lebih tenang.


     Pelajar yang tidak gembira dan bermasalah selalu fikirkan dan fokuskan minda mereka kepada perkara-perkara yang membuat mereka sedih dan resah. Mereka asyik fikir yang orang sekeliling tidak sayangkan mereka dan mereka fikir seolah-olah satu dunia sedang berperang dengan mereka. Apabila anda yang tidak gembira ini mula fikirkan perkara-perkara yang menggembirakan, mereka terus berubah. Cadangan saya, kekalkan dalam minda perkara-perkara yang menenangkan seperti apa yang ditulis tadi. Jangan risau jika anda terfikir yang semuanya belum terjadi. Apa yang penting, minda perlu difokuskan kepada perkara yang baik.


ii) Kedua, kegagalan yang lepas bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri sendiri. Walaupun anda kata lemah dalam sesuatu subjek, ia tidak bermaksud anda tidak boleh score subjek tersebut sampai bila-bila. Cara terbaik untuk mengubah perkara ini ialah dengan berjumpa dengan cikgu-cikgu yang mengajar subjek tersebut. Berterus-terang dengan mereka yang anda rasa lemah dalam subjek itu dan berazam untuk jadi lebih baik. Saya percaya cikgu yang mengajar subjek tersebut akan menyokong anda.


iii) Ketiga, amat penting, saya cadangkan anda berjumpa dengan sesiapa sahaja yang boleh memberi kaunseling kepada anda. Sedikit sebanyak, mereka akan boleh membantu dengan lebih kerana mereka boleh luangkan masa secara berdepan dengan anda. Minta pendapat daripada orang yang anda percaya, luahkan perasaan dan kongsilah masalah anda supaya anda tidak terbeban dengan masalah anda sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan