25 November 2009

MAJIKAN UTAMAKAN PEKERJA BERKEBOLEHAN

Ketika graduan mengeluh tidak memperoleh pekerjaan sesuai, 41 % majikan seluruh dunia termasuk negara ini berpendapat pekerja mahir amat diperlukan dalam sektor pemasaran selain kerjaya berasaskan kemahiran seperti tukang kayu, tukang paip, pembuat almari dan juruteknik.


Menurut kaji selidik, kebanyakan majikan termasuk 33% pemilik syarikat di Asia Pasifik mendakwa sukar mencari pekerja untuk mengisi kekosongan jawatan bidang terbabit dan sektor kejuruteraan. Majikan memerlukan pekerja yang berkemahiran dan berkebolehan yang dapat menaikkan nama syarikat namun ia dikhuatiri sukar diperoleh dalam diri calon sekali gus menyebabkan majikan mencari tenaga mahir lain yang lebih berpengalaman. Oleh itu, bukan soal tiada pekerja dapat memenuhi sektor berkenaan tetapi masalah mencari calon yang sesuai yang dapat memenuhi semua kriteria menjadi punca.

Kajian membabitkan hampir 37,000 majikan di 27 buah negara menjelaskan wakil jualan produk ataupun perkhidmatan dipercayai kerjaya paling kritikal dan sukar mendapat pekerja berkelayakan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada. Berdasarkan kaji selidik itu, majikan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja berpengalaman yang mampu menaikkan keuntungan syarikat.

Seperti tahun lalu, Malaysia masih lagi kekurangan tenaga mahir dalam “front-line roles” seperti kakitangan pusat maklumat dan pemasaran terutama yang berlatar belakang teknikal. Ini dipercayai akibat lambakan graduan kurang kemahiran dalan kerjaya sesuai selain lemah penguasaan bahasa Inggeris yang semakin mendapat perhatian majikan seluruh dunia. Selain itu, penghijrahan pekerja tempatan yang lebih berminat menyalurkan bakat mereka ke luar negara juga menjadi punca mengapa pasaran kerja tempatan kurang tenaga kerja sempurna.

Antara beberapa kriteria yang pelu diambil kira oleh pencari kerja ialah mereka perlu menonjolkan diri dengan kualiti yang baik kerana majikan memerlukan pekerja yang berdaya saing dan dapat memberi kelebihan kepada syarikat.


Tip berikut diharap dapat membantu calon-calon mempersiapkan diri ke arah kerjaya yang cemerlang:


a) Proses temuduga adalah ruang dan peluang majikan membuat pernilaian tentang potensi dan kelebihan yang boleh diperoleh daripada bakal pekerja. Dengan itu, pencari kerja perlu menggunakan peluang ini untuk menunjukkan potensi masing-masing.

b) Kemahiran insaniah atau “soft skills” merangkumi elemen kemahiran berkomunikasi; pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah; kemahiran berpasukan; pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat; kemahiran keusahawanan; etika dan moral professional serta kemahiran kepimpinan

c) Selain berusaha “mempromosi” diri kepada majikan, graduan perlu sedar dunia pekerjaan sebenar jauh berbeza dan bukan diperoleh secara terus melalui sesi kuliah di tempat pengajian.

d) Daya ketahanan tinggi selain menyediakan diri berdepan dengan cabaran bakal menjadikan pekerja lebih kental dan mahu memajukan diri.

e) Persediaan mental dan fizikal membolehkan seseorang sentiasa bersemangat dan tidak mudah putus asa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan