25 November 2009

BAHASA INGGERIS TUNTUTAN ERA GLOBALISASI

Dewasa ini keperluan Bahasa Inggeris amat penting terutamanya dalam alam pekerjaan. Dunia pekerjaan yang penuh cabaran dan persaingan mementingkan penggunaan bahasa antarabangsa ini secara meluas. Walaupun kepentingan Bahasa Inggeris seringkali ditekankan dalam media oleh kerajaan dan pihak swasta, malangnya, ramai orang memandang remeh perkara itu.



Dalam era globalisasi ini, kemahiran berbahasa Inggeris perlu sentiasa diamalkan untuk melahirkan pekerja yang mahir dalam berkomunikasi bahasa berkenaan. Sejajar dengan wujudnya pelbagai syarikat antarabangsa, Bahasa Inggeris berperanan untuk memudahkan pekerja berkomunikasi dengan syarikat yang memiliki pekerja dari luar negeri.


Apabilan berada dalam kalangan keluarga atau di rumah, kita tidak akan berasa lemah dalam bahasa Inggeris tetapi apabila berada dalam dunia pekerjaan, kita akan terasa sebaliknya kerana kebanyakan syarikat antarabangsa menggunakan Bahasa Inggeris dalaman. Komunikasi menjadi lebih mudah jika ramai pekerja di negara ini memilki kemahiran berbahasa Inggeris dan lebih banyak tenaga kerja yang produktif dan bijak berkomunikasi dihasilkan.


Segelintir pekerja di negara ini mengambil mudah tentang kepentingan berbahasa Inggeris dalam komunikasi harian mereka ketika bekerja dan tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Walaupun negara ini mempunyai ramai pekerja yang berkelulusan tinggi, namun keupayaan untuk berbahasa Inggeris adalah rendah dan tidak setaraf dengan kelulusan yang dimiliki dan berada di tahap minima.


Kepentingan penggunaan Bahasa Inggeris yang sering ditekankan oleh pihak kerajaan perlu diambil berat kerana penting untuk negara membangun seperti Malaysia yang mempunyai pekerja yang tidak hanya fasih berbahasa ibunda tetapi juga Bahasa Inggeris dan bahasa asing lain.


Seiring dengan tahap pencapaian negara yang bakal mencapai Wawasan 2020, kesedaran perlu ada dalam setiap diri pekerja supaya memantapkan lagi Bahasa Inggeris untuk kepentingan diri sendiri dan pekerjaan yang dilakukan agar hasil kerja yang dibuat setaraf dengan tahap antarabangsa.


Peranan pihak media, kerajaan mahupun badan bukan kerajaan penting untuk menggalakkan tenaga kerja di Negara ini mempunyai minat untuk mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih tekun dan mendalam.


Oleh itu, setiap pekerja di negara ini perlu mempunyai kesedaran tentang kepentingan berbahasa Inggeris agar cabaran dan rintangan dapat diatasi dengan mudah dan komunikasi semasa bekerja lebih berkesan dan kerja yang dihasilkan lebih berkualiti serta mencapai tahap antarabangsa.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan