25 November 2009

INTERNET MEDAN TAWAR & CARI KERJA

Proses mencari kerja mungkin agak mudah untuk sesetengah individu pada masa kini. Namun,  ia menjadi satu perkara yang sukar kepada orang lain walaupun mempunyai kelulusan tinggi termasuk ijazah. Tidak semua graduan mudah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian dan keadaan menjadi lebih buruk jika mereka memilih kerja.



Pada zaman teknologi maklumat sekarang, proses mencari kerja lebih mudah kerana ia boleh dilakukan melalui internet, sama ada meninjau kerja kosong atau mengiklan diri sendiri. Beberapa syarikat, termasuk konglomerat tidak lagi menggunakan media termasuk akhbar bagi mengiklankan kerja kosong sebaliknya menggunakan internet dengan mengiklannya di laman web syarikat terbabit apabila memerlukan pekerja.


Banyak bank dan syarikat kerajaan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) menggunakan internet untuk mengiklankan jawatan kosong tertentu dan pemohon menghantar permohonan melalui e-mel beserta butir-butir peribadi. Permohonan pekerjaan yang diterima TNB mencecah puluhan ribu setiap bulan dan kesemuanya melalui internet. Bagi jawatan eksekutif, TNB menapis permohonan yang dibuat melalui internet manakala jawatan bukan eksekutif masih menerima pakai permohonan melalui pos.


Sehubungan itu, graduan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan penggunaan internet termasuk menghasilkan fail resume untuk dihantar melalui e-mel. Jadi, selain akhbar, graduan dan pencari kerja juga perlu rajin melayari internet, memeriksa laman web syarikat, bank dan agensi yang diminati untuk melihat tawaran kerja kosong daripada semasa ke semasa. Kini, bukan sahaja syarikat besar malah banyak syarikat pemilikan perniagaan kecil turut menggunakan internet untuk mengiklankan kerja kosong untuk mencari pekerja kerana kosnya yang murah.


Selain itu, Kementerian Sumber Manusia turut menyediakan sistem melalui internet yang dikenali sebagai “Sistem Penjodohan Pekerjaan” (JCS) iaitu sistem penjodohan pekerjaan automatik atas talian. Sistem ini memberi kemudahan kepada pencari kerja mencari peluang pekerjaan yang sesuai. Melalui sistem ini, majikan juga boleh mendapatkan calon-calon untuk mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka. Pencari kerja boleh membuat permohonan kerja dan majikan menguruskan permohonan pekerjaan yang diterima. Semua kemudahan yang disediakan ini tidak dikenakan sebarang bayaran.


Sistem ini diwujudkan untuk meningkatkan kemudahan tenaga kerja negara dan memastikan penggunaan tenaga kerja secara berkesan melalui penjodohan pencari kerja dan kekosongan jawatan yang lebih sistematik. Ia juga menjadi pusat maklumat pasaran buruh yang boleh dicapai orang ramai sama ada dari dalam atau luar negeri termasuk pelajar Malaysia di luar negeri dan pelabur asing.


Melalui laman web Jabatan Tenaga Kerja, terdapat beberapa kategori jawatan kosong yang boleh dirujuk pemohon seperti kekosongan terbanyak dan jawatan popular. Antara jawatan popular yang sering dipilih pencari kerja adalah jenis professional bahagian perkhidmatan, jualan, perkeranian dan bahagian teknikal.


Selain itu, jabatan ini turut menyediakan jawatan yang sesuai untuk orang kurang upaya (OKU) melalui sistem yang dikenali sebagai Sistem Penempatan OKU (SPOku). OKU yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja lebih mudah mencari pekerjaan kerana majikan turut mengiklankan jawatan kosong yang sesuai untuk golongan ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan