29 Mac 2010

Pengalaman Penting Untuk Mencari Kerja

Tawaran melanjutkan pelajaran ke menara gading pastinya menjadi idaman setiap pelajar. Ibu bapa dan saudara-mara turut berbangga kerana selepas menamatkan pengajian nanti, pasti si anak memperoleh pekerjaan yang baik.



PERSEDIAAN AWAL...pemohon perlu sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu ketika menghadiri sesi temu duga.


MAHIR BERKOMUNIKASI...graduan harus bijak berkomunikasi dan menjaga penampilan diri ketika dipanggil untuk sesi temu duga.

     Namun, cerita indah itu sukar untuk diterjemahkan hari ini. Walaupun memiliki ijazah, ia bukan jaminan anda akan mendapat pekerjaan selepas keluar dari menara gading. Cerita graduan menganggur hari ini bukan kerana mereka tidak mendapat keputusan yang baik kerana ramai pelajar memperoleh pencapaian yang baik tetapi masih belum mendapat pekerjaan.


     Justeru, timbul persoalan apa yang tidak kena dengan graduan hari ini. Apakah perlu ada aksesori tambahan untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan? Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan) Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Naseer Noor, berkata dalam suasana ekonomi negara kini, pelajar boleh merebut pelbagai peluang pekerjaan.


     Beliau berkata, kebanyakan graduan bukan gagal mendapat pekerjaan tetapi terlalu memilih dan lebih sanggup menganggur daripada bekerja.  “Sebagai graduan IPT, peluang memperoleh pekerjaan sentiasa ada kerana kebanyakan syarikat yang mencari pekerja mahu mengambil mereka yang berpelajaran.  “Masalahnya, pelajar kita terlalu memilih. Mereka lebih rela duduk di rumah daripada memegang jawatan yang tidak setaraf dengan tahap pendidikan yang diperoleh,” katanya. Dr Naseer berkata, sesetengah graduan juga tidak mempunyai kesabaran dan mudah bertukar pekerjaan.


     “Pelajar kini lebih mementingkan gaji lumayan daripada mengumpul pengalaman. Mereka bukan sekadar sering bertukar kerja, malah sanggup berhenti semata-mata kerana mendapat gaji yang kecil,” katanya. Beliau meminta pelajar tidak terlalu melihat faktor gaji kerana pengalaman lebih penting untuk masa depan. “Mungkin pekerjaan itu menawarkan gaji rendah tetapi lihat pula pengalaman yang diperoleh. Ada syarikat yang memberi gaji rendah tetapi menawarkan pelbagai latihan,” katanya.



     Selain itu, beliau mengakui sesetengah mahasiswa tidak memiliki ketrampilan yang menarik atau aset tambahan seperti kemahiran untuk meyakinkan majikan mengambil mereka. “Jika dalam temu duga, anda gagal menjawab beberapa soalan mudah termasuk berkaitan syarikat yang dipohon, tentu peluang mendapat kerja agak sukar.


      “Ketika menghadiri temu duga, penampilan perlu menarik dan jangan lupa membuat kerja rumah terutama jika penemuduga bertanyakan soalan pengetahuan am.  “Ada mahasiswa malas membaca dan ini memberi kesukaran apabila menghadapi temu duga, apatah lagi mereka tiada pengalaman,” katanya. Sementara itu, di pihak industri pula, ramai mahasiswa yang memohon sesuatu pekerjaan tetapi tidak membuat persediaan.

     Eksekutif Bahagian Sumber Manusia Toshiba Electronics Malaysia Sdn Bhd (Toshiba), Nur Azmil Zainal Abidin, berkata sesetengah graduan yang hadir untuk temu duga tiada pengetahuan mengenai jawatan dimohon. “Mahasiswa patut membuat persediaan rapi. Namun, daripada pengalaman mengendalikan sesi temu duga, mereka bukan saja tidak bersedia tetapi kabur terhadap jawatan yang dimohon. “Mahasiswa juga mempunyai masalah berkomunikasi terutama bahasa Inggeris. Ini menyebabkan majikan tidak berminat mengambil mereka walaupun pencapaian pelajaran cemerlang,” katanya.


     Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan pekerja baru di Toshiba, kata Nur Azmil, selain persediaan graduan perlu memastikan resume yang dihantar adalah yang terkini. “Perkara pertama yang kami nilai ialah resume kerana ia dianggap pengenalan diri pelajar. “Ada pelajar mempunyai kelayakan tetapi resume tidak menepati piawaian ataupun gagal dikemas kini menyebabkan gagal dipanggil untuk temu duga,” katanya.


     Pada sesi temu duga ini, katanya, pemohon akan di nilai dari segi penampilan, cara berkomunikasi, pengetahuan mengenai jawatan yang dimohon dan beberapa soalan lain. “Melalui temu duga, majikan melihat sejauh mana kebolehan dan kesesuaian pelajar dengan jawatan itu. “Jika ada kelulusan tetapi tidak mampu menonjolkan diri dan meyakinkan majikan, hasilnya pasti mengecewakan,” katanya. Justeru, beliau meminta mahasiswa yang mencari pekerjaan memastikan sentiasa mengemas kini resume sebelum menghantar kepada majikan selain menjaga imej diri. “Graduan juga perlu ada keyakinan diri dan kemahiran lain yang dapat menyokong permohonan mereka,” katanya.


     Eksekutif Unit Pengurusan Kerjaya Eksekutif Baru, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Fidzuan Abu Bakar, berkata jika tiada pengalaman bekerja memang sukar untuk mendapat pekerjaan. Beliau berkata, cara paling baik ialah mencari sebanyak mungkin pengalaman bekerja kerana ia akan membantu mahasiswa untuk mendapat pekerjaan bergaji lumayan kelak.


       “Tanpa pengalaman, memang sukar mendapat kerja tetapi mereka boleh mencuba mencari pekerjaan dalam bidang yang tidak memerlukan pengalaman,” katanya. Katanya, TNB sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada graduan yang tiada pengalaman. Menurutnya, untuk memohon sesuatu pekerjaan, ia bukan saja memerlukan kemahiran mengenai jawatan itu tetapi kemahiran lain.


     “Jika anda memohon jawatan eksekutif jualan dan mempunyai kemahiran lain seperti boleh berkomunikasi dalam beberapa bahasa, boleh memandu, tahu mengenai pemasaran dan akaun, pasti anda pilihan utama,” katanya.

Gagal SPM Bukan Titik Akhir Hidup



      Air mata yang berlinangan sebaik memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi seribu satu makna yang sukar untuk diungkapkan. Mana tidaknya, reaksi spontan selepas melihat slip keputusan SPM diiringi tangisan membuatkan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan tertanya-tanya sama ada keputusan mereka cemerlang atau sebaliknya.



     Bagi pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang, tangisan itu lambat-laun akan bertukar kepada senyuman, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang gagal? Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, mudah membuat perancangan masa depan dengan memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).


     Benarkah masa depan pelajar yang gagal itu gelap atau ada peluang lain untuk menebus maruah yang hilang? Jika ada apa yang harus lakukan? Sesetengah berpendapat  keputusan SPM sangat penting, tetapi ia bukanlah penentu masa depan seseorang. Tahap kematangan seseorang individu adalah berbeza dan jika berusaha gigih, masa depan mereka pasti cerah.


      Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Jadi, jangan anggap gagal SPM sebagai satu titik akhir dalam hidup. Insya-Allah jika berusaha, kejayaan pasti ada. Pelajar yang gagal atau keputusan 'cukup makan' tidak perlu risau kerana banyak peluang untuk berjaya.



      Dahulu memang peluang melanjutkan pelajar untuk mereka yang tercorot agak tipis Kini dengan adanya pelbagai kolej dan pusat pendidikan swasta, pelajar hanya perlu bijak memilih kursus yang diminati.  Dengan kelulusan minimum yang pelajar ada, mereka boleh memohon kursus di bidang teknikal atau vokasional.


     Latihan kemahiran di Giat Mara atau institusi pertanian membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran.  Apabila memperoleh sijil nanti, mereka mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi.


Bagaimana pula jika gagal memohon di mana-mana institusi atau pusat kemahiran? "Jangan risau kerana anda boleh bekerja dan dalam masa yang sama ambil kursus di mana-mana institusi atau mengulang semula peperiksaan SPM kembali. Perlu ada keazaman dan usaha gigih. Peluang kerjaya kini mempunyai banyak saingan dan pelajar perlu bijak memilih.


      Justeru, katanya, jika tiada pilihan lain, pelajar boleh menceburi bidang keusahawanan atau berniaga kecil-kecilan untuk mendapat pengalaman sebelum melabur dalam skil lebih besar. Ketika bekerja, kumpul modal dan belajar ilmu pengurusan, insya-Allah dalam tempoh beberapa tahun, anda bakal menjadi usahawan berjaya. Yang penting anda ada keinginan, semangat dan usaha untuk berjaya.


      Bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cerah.  Justeru,  usah menangisi nasib sendiri apabila gagal kerana ia tidak membawa apa-apa, sebaliknya kumpul semangat yang masih ada untuk bangun dan melakukan sesuatu yang positif. Perasaan sedih itu memang lumrah apatah jika berusaha tetapi keputusan yang diterima mengecewakan. Tetapi, anda tidak boleh terus menangis kerana kehidupan perlu diteruskan, inilah yang patut ada pada diri pelajar yang gagal, semangat dari kejatuhan.


      Ketika ini ibu bapa memainkan peranan penting memberi dorongan kepada anak-anak. Sokongan ibu bapa diperlukan bagi mengubat pelajar yang dalam kesedihan. Mereka perlu peka dan prihatin. Jangan memarahi atau mengaibkan mereka kerana ia memberi akibat yang buruk. Ibu bapa perlu sedar bahawa pelajar yang gagal dalam SPM hari ini boleh berjaya di masa hadapan jika mereka bijak membimbing.


     Pelajar yang gagal rajin melihat peluang lain yang ada. Jika masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan terhadap kegagalan itu, jumpa guru kaunseling di sekolah. Rajin-rajinlah membelek surat khabar untuk melihat peluang melanjutkan pelajaran.

23 Mac 2010

Adab Ketika Bertanya

Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan apabila ingin bertanya sesuatu kepada seseorang. Antara adab-adab bertanya secara ringkas adalah seperti berikut :

a) Memberi salam sebelum bertanya
b) Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
c) Bertanyalah dengan ikhlas
d) Mengucapkan terima kasih
e) Meminta izin sebelum bertanya
f) Bertanya perkara yang munasabah
g) Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain


Sebenarnya sikap suka bertanya adalah sangat penting dalam diri seseorang. Jika anda seorang pelajar, sikap suka bertanya mesti ada dalam diri kerana ia memberi banyak faedah. Antaranya ialah :
a) Tidak sesat jalan
b) Berakhlak mulia dan terpuji
c) Dapat menyelesaikan masalah
d) Tercapai hajat
e) Ramai kawan dan kenalan
f) Disukai dan dihormati


Justeru itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mengamalkan adab-adab yang telah dianjurkan oleh Islam agar kita bisa menjadi seorang muslim atau muslimah yang mempunyai nilai akhlak dan budi pekerti yang tinggi. Selain itu juga, dengan mengamalkan adab-adab dalam kehidupan seharian, kita akan disayangi Allah SWT dan mendapat keredhaannya. Semoga kita sama-sama mengamalkannya. Wallahu A’lam.

Adab Ketika Menuntut Ilmu

Adab-adab Ketika Belajar

a) Membaca Doa Penerang Hati
b) Duduk dengan sopan
c) Mendengar penerangan guru dengan teliti
d) Berlumba-lumba untuk belajar
e) Sabar ketika belajar
f) Sentiasa mengulangkaji pelajaran
g) Menghormati guru anda
h) Mendisiplinkan diri

Kebaikan Menuruti Adab-adab Ketika Belajar
a) Mendapat keberkatan daripada Allah SWT
b) Anda akan disenangi guru dan rakan
c) Mudah memahami dan menerima ilmu yang diajar
d) Akibat Mengabaikan Adab Ketika Belajar
e) Tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT
f) Dibenci oleh guru dan rakan anda
g) Sukar memahami dan menerima ilmu yang diajar.

Dengan ini, kita hendaklah mengamalkan budaya menuntut ilmu dengan mengikuti segala adab-adab yang telah digariskan supaya ianya dapat menyemai cintakan ilmu di dalam diri kita. Dengan mengamalkan adab-adab tersebut, insyaallah kita akan menjadi pelajar cemerlang yang disayangi guru dan rakan serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

20 Mac 2010

Personaliti Untuk Berjaya

     Salam perkongsian untuk semua…Siapalah di antara kita yang tidak mahu hidup berjayakan  Tapi kenapa hidup kita ni macam tak maju-maju juga sedangkan pelbagai cara sudah dilakukan..….Mungkin tips ini boleh membantu.


1. Jangan suka buat perbandingan – Setiap dari kita mempunyai cara dan stail tersendiri. Tak kiralah dalam apa hal sekalipun. Jadi tak perlulah kita membandingkan diri kita dengan orang lain kerana kita seharusnya tahu dan sedar, kemampuan kita tak sama dengan orang lain.

2. Jangan asyik kata tak boleh – “Negative thinking” belum buat apa-apa lagi dah cakap tak boleh. Kata orang belum cuba, belum tahu hasilnya. Andai kata percubaan pertama gagal, cubalah lagi, mungkin "ada  part ” yang kita terlepas pandang dan perlu diperbaiki. Jangan mudah putus asa ye.....

3. Belajar menghargai diri orang lain – Kalau nak tahu, orang-orang yang berjaya bukan setakat menghargai diri sendiri sebaliknya mereka juga turut menghargai orang lain. Jangan sesekali memandang rendah pada orang lain walaupun  mereka hanyalah pembantu pejabat ataupun “ cleaner ” di tempat kita berkerja.


4. Kuburkan kenangan lalu – Barang yang lepas jangan dikenang kelak hanya menambah kesedihan dan luka lama akan berdarah kembali. Setiap dari kita akan melakukan kesilapan, yang penting macam mana nak memperbaikinya dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.


5. Belajarlah untuk menjadi dewasa – Bersikap kebudak-budakan hanya akan membuatkan kita jauh dari kejayaan. Buanglah sikap buruk kita seperti suka bergosip, hasad dengki, ego dan sebagainya. Ubahlah diri menjadi lebih berdisplin dan lebih bertanggungjawab.


6. Jangan pentingkan diri sendiri – Disebalik kejayaan seseorang itu pasti ada seseorang yang menjadi tulang belakang dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi. Jadi jangan pentingkan diri sendiri saja. Melihat keperluan orang lain juga boleh menjadi kunci kejayaan kita.


7. Jangan takut pada cabaran – Kalau kita mahu berjaya jangan takut untuk meninggalkan “ comfort zone ” kita. Kita perlu bijak menyesuaikan diri kita dengan keadaan dan suasana baru. Mungkin kita akan beroleh pengalaman baru yang lebih mematangkan kita.



8. Perlu ada keyakinan – Dalam apa hal sekalipun, keyakinan diri itu adalah penting. Bukan bermakna kita “ over confident ”. Setiap dari kita mempunyai kelebihan dan keistemewaan tersendiri. Kenali potensi diri dengan sebaiknya dan kembangkan ia semaksimum yang boleh……

19 Mac 2010

Motivasi Diri Semasa Berduka

      Sebagai manusia biasa, kita semua mungkin sudah biasa merasa pelbagai perasaan. Ada kalanya kita gembira dan teruja. Ada kalanya kita sedih dan sengsara. Satu perkara yang jelas, kebanyakan daripada kita sentiasa menginginkan rasa gembira dan ceria menguasai diri. Apabila hati gembira dan semangat yang tinggi menguasai diri, kita terasa seperti tidak ada satu perkara pun yang mustahil untuk dilakukan. Namun hakikatnya, perasaan itu semua bukan hadir setiap masa. Lebih menakutkan, lebih banyak ketikanya diri kita hanya dibelenggu rasa tidak selesa, marah, sedih, resah dan gelisah…



     Pernahkah kita merasa begitu sedih sehingga langsung tidak mampu berbuat apa-apa? Pernahkah kita merasa begitu murung sehingga perkara yang selalunya menggembirakan kita pun gagal menjalankan tugasnya? Pernahkah kita merasa sedih, lemah semangat dan hilang keyakinan diri sehingga kita rasa seperti terperangkap dan tidak boleh lagi melarikan diri?

     Apakah yang kita akan  lakukan untuk mengeluarkan diri kita daripada belenggu perasaan-perasaan tersebut? Maksudnya, jika anda sedang berduka, apakah yang anda lakukan untuk menceriakan diri anda semula? Jika anda sedang hilang keyakinan diri dan lemah semangat, apakah yang anda akan lakukan untuk meningkatkan semula semangat dan keyakinan diri tersebut?


     Apa yang patut kita fikirkan bersama ialah di saat kita sedang merasa semua perasaan yang negatif itu, apakah yang boleh kita lakukan agar diri kita pulih seperti biasa. Malah, apakah yang boleh kita lakukan agar bukan sahaja kita pulih, malah bangkit lebih hebat daripada biasa.

"SAYA NAK BERUBAH"
Percaya atau tidak, kata-kata ’saya nak berubah’ itu sahaja merupakan satu petunjuk bahawa anda ada kemampuan untuk menjadi seorang yang lebih hebat. Bagaimana nak berubah? Macam mana? Apa nak buat? Ada 3 langkah awal yang boleh dilakukan, iaitu:

i) Pertama, lupakan semua masalah itu seketika dan ambil sekeping kertas dan pensel. Tuliskan di atas kertas itu apa sahaja yang anda mahu dapat dalam hidup. Tulis apa sahaja. Mungkin anda mahu jadi pelajar yang pandai dalam subjek tertentu, mungkin mahu mendapat lebih perhatian daripada ibu bapa atau mungkin anda mahu ada hubungan yang baik dengan guru di sekolah. Selepas tulis, pejamkan mata seketika, dan cuba bayangkan jika  semua itu menjadi kenyataan. Sangat penting, rasakan apakah perasaannya jika ia benar-benar menjadi kenyataan. Saya percaya jika itu semua tercapai, anda akan rasa lebih gembira, teruja dan mungkin lebih tenang.


     Pelajar yang tidak gembira dan bermasalah selalu fikirkan dan fokuskan minda mereka kepada perkara-perkara yang membuat mereka sedih dan resah. Mereka asyik fikir yang orang sekeliling tidak sayangkan mereka dan mereka fikir seolah-olah satu dunia sedang berperang dengan mereka. Apabila anda yang tidak gembira ini mula fikirkan perkara-perkara yang menggembirakan, mereka terus berubah. Cadangan saya, kekalkan dalam minda perkara-perkara yang menenangkan seperti apa yang ditulis tadi. Jangan risau jika anda terfikir yang semuanya belum terjadi. Apa yang penting, minda perlu difokuskan kepada perkara yang baik.


ii) Kedua, kegagalan yang lepas bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri sendiri. Walaupun anda kata lemah dalam sesuatu subjek, ia tidak bermaksud anda tidak boleh score subjek tersebut sampai bila-bila. Cara terbaik untuk mengubah perkara ini ialah dengan berjumpa dengan cikgu-cikgu yang mengajar subjek tersebut. Berterus-terang dengan mereka yang anda rasa lemah dalam subjek itu dan berazam untuk jadi lebih baik. Saya percaya cikgu yang mengajar subjek tersebut akan menyokong anda.


iii) Ketiga, amat penting, saya cadangkan anda berjumpa dengan sesiapa sahaja yang boleh memberi kaunseling kepada anda. Sedikit sebanyak, mereka akan boleh membantu dengan lebih kerana mereka boleh luangkan masa secara berdepan dengan anda. Minta pendapat daripada orang yang anda percaya, luahkan perasaan dan kongsilah masalah anda supaya anda tidak terbeban dengan masalah anda sendiri.

18 Mac 2010

Renungan

1) Dalam diri setaip insan ada kehebatan-kehebatan istimewa yang kadangkala tidak disedari oleh tuan punya diri itu sendiri. Tapi dia ada. Dia ada di situ, sentiasa menanti masa untuk dicungkil oleh tuan punya diri.
2) Yakini pada ciptaan Allah pasti terbaik dan berguna apalagi jika dia adalah insan. Yakinilah keupayaan anak kita walaupun dia kelihatannya bodoh pada waktu ini, tidak cemerlang dalam peperiksaaan, gagal dalam banyak hal pada waktu ini. Sebaba kita tidak tahu kejayaan yang akan digapainya apabila dewasa kelak. Pendek kata jangan putus asa.

3) Berikan hasrat, kehendak, azam, kemahuan, target dan cita-cita pada diri untuk sesuatu matlamat dan tunggulah hasilnya.

"HIDUP UNTUK HARI INI ADALAH DENGAN MEMPELAJARI KELMARIN, TAPI SASARAN UNTUK ESOK HARI IALAH DENGAN PERANCANGAN HARI INI".

10 Panduan Sebelum Bertukar Kerjaya

     Bosan dengan tugasan yang sama dilakukan setiap hari? Atau anda mahu sesuatu yang lebih mencabar hingga terfikir untuk bertukar karier? Terdapat sesetengah pekerja yang mahu beralih arah dengan mencari kerja baru bagi menyesuaikan diri dengan minat atau mahu lebih cabaran dalam kerjaya. Ini mungkin didorong dengan perasaan bosan lantaran melakukan pekerjaan yang sama dalam tempoh yang lama.
     Jika anda antara mereka yang mahu bertukar kerjaya demi memantapkan karier, fikir semasak-masaknya dan semak 10 langkah di bawah yang boleh dijadikan panduan.
a) Senaraikan perkara yang disukai dan tidak disukai
b) Buat kajian tentang kerjaya yang bakal anda ceburi
c) Kenal pasti kemahiran anda dalam kerjaya sekarang yang boleh digunakan dalam kerjaya baru
d) Tambah pengetahuan baru
e) Bantuan rakan diperlukan dalam membina kekuatan usaha anda bertukar kerja
f) Dedahkan diri pada bidang baru
g) Cari mentor supaya boleh memandu anda membuat keputusan menukar karier
h) Yakin apabila membuat penkaran karier
i) Pencarian kerja perlu dilakukan sekali lagi
j) Bersikap fleksibel terhadap segalanya berkaitan kerja baru anda

5 Tip Kerja Di Luar Pejabat

      Menjalani profesion yang menghabiskan sebahagian besar masa di luar pejabat tentunya bukan perkara mudah. Dibandingkan bekerja di pejabat dengan ruang tersendiri, anda yang bekerja di luar perlu memperhati perkara berikut supaya tetap bersemangat selama bertugas.
a) Bijak beristirehat ~ bijak curi masa untuk berehat @ tidur sekejap.
b) Manjakan diri ~ manjakan diri dengan makanana berkhasiat & bawa air sendiri untuk menghilangkan dahaga tika sibuk bekerja.
c) Uji kesabaran ~ cuba bersikap fleksibel dan dapatkan penyelesaian dalam masa yang singkat.Tak guna marah-marah.
d) Pentingnya masa ~ hargai masa dengan berdisiplin.
e) Peralatan lengkap ~ bawa keperluan peribadi sebagai persediaan untuk kekal aktif.

Motivasi

     Motivasi ialah suatu bentuk inovasi minda yang memerlukan cetusan untuk membangkitkannya. Manusia dilahirkan dengan motivasi asas dan perlu dikembangkan selalu. Pembangkitan ini memberi peluang seseorang individu itu untuk mendapat faedah maksimum dirinya sebagai insan.
     Malangnya proses ini tidak sellunya difahami oleh kebanyakan orang. Tadbirlah diri sendiri. Proses ini dilihat sebagai mudah dan diketahui secara semulajadi. Sebenarnya tidak semudah itu berdasarkan ramainya orang yang gagal mendapat semua kebaikan daripada potensi diri sendiri. Maka, sesuatu perlu dilakukan supaya potensi-potensi yang sentiasa menanti untuk dikembangkan itu tidak dibazirkan begitu sahaja.
     Motivasi asas yang hidup secara semulajadi itu belum mencukupi untuk menerangkan seluruh alam diri. Berilah peluang kepada diri sendiri keranan peluang itu amat terbuka.