15 November 2010

Jadilah Remaja Berwawasan

PARA remaja atau muda-mudi adalah pewaris kita bagi masa hadapan. Mereka adalah aset yang berharga agar agama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan negara.

      Maka adalah penting bagi kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor perjuangan kita pada masa hadapan. Mereka mestilah menjadi golongan yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk membina masyarakat dan negara yang maju jaya, tetapi yang lebih penting adalah Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita. Kita sekarang sudah mempunyai contoh-contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai teladan.

     Kita mempunyai segolongan muda-mudi Islam yang berupaya menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan agama Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan terus disemai serta dipupuk subur lebih ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam sebagai teras kehidupan mereka.

      Bagaimanapun, masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai contoh, kita sering mendengar terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan anak luar nikah dan mencampakkan bayi di tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka. Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol, juga ketagihan dadah Adakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat Islam kita? Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh ‘khaira ummah’atau sebaik-baik umat? Semakin ramai remaja kita yang tanpa segan silu membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih berani lagi. Mereka berdua-duaan dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

     Ini bertentangan dengan ajaran Islam. Mengapakah mereka berkelakuan demikian? Banyak faktor yang menyumbangkan peranannya. Bagaimanapun, yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing. Kalau pada zaman datuk nenek kita dahulu, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel yang mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan butang sahaja.

     Memang tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen kabel membawa kebaikan. Dengannya kita lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini. Masyarakat kita pula tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai faedah yang dapat diraih. Bagaimanapun, internet dan televisyen kabel juga membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai Islam.

     Jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan agama, maka kita juga mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita menonton filem Barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan Islam. Setiap kali kita menonton televisyen, kita akan mendengar perkataan-perkataan lucah. Setiap kali juga kita menonton televisyen, kita akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam. Bayangkanlah.

     Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam kehidupan mereka, disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh? Menerusi internet pula, lelaman lucah dengan mudah dilayari. Jika inilah sajian yang terhidang kepada anak-anak Islam kita semasa mereka sedang membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing kepada mereka. Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan? Setiap ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai Islam. Anak-anak adalah amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-anak kita. Berapa ramai ibu bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-anak mereka?

     Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau internet di atas keruntuhan akhlak para remaja dan muda-mudi zaman sekarang ini. Sebaliknya, kita perlu merenung kembali. Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa, sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak? Adakah kita sudah memainkan peranan yang secukupnya dalam mendidik dan menanamkan keimanan dalam jiwa anak-anak Islam kita sehingga mereka tidak mudah terpedaya? Sudahkah anak-anak kita diberi pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh cabaran ini?

     Anak-anak secara semula jadi memandang ibu bapa mereka dahulu sebagai panduan hidup mereka. Sekiranya ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya ibu bapa sendiri terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah "bapak borek, anak rintik."

      Bagaimanapun, ibu-bapa menunjukkan contoh yang baik terhadap anak-anak mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan Islam sebagai panduan kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian itu, kita menyeru kepada para remaja dan belia kita, agar menyedari bahawa mereka adalah adalah harapan keluarga dan negara.

     Jika mereka menjalankan tanggungjawab sebagai remaja atau belia Islam yang dinamik, maka masyarakat kita dan negara akan menjadi lebih maju lagi. Bagaimanapun, jika mereka lebih mementingkan keseronokan dan hiburan sehingga lalai daripada tanggungjawab, maka masyarakat dan negara kita akan menjadi lemah. Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai beberapa tanggungjawab asas yang penting untuk dipraktikkan pada zaman yang serba mencabar ini.

     Pertama, kita mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk berseronok semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari dan menimba ilmu pengetahuan dan menghayati agama Islam. Jadikanlah waktu tersebut sebagai persiapan untuk menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak.

     Kedua, kita tidak harus mudah terpedaya akan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya yang baik daripada sesiapa pun dalam mencari dan meningkatkan ilmu. Bagaimanapun, kekalkan akhlak dan cara kehidupan sebagai orang Islam. Kita akan menjadi orang yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

    Ketiga, sebagai remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan masa berkhayal dengan perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak hasil. Malah masa kita yang berharga itu sepatutnya dihabiskan dengan mencari ilmu atau menyumbang kepada masyarakat.

     Keempat, hormatilah ibu bapa kita, walaupun pada pandangan kita mereka tidak memahami jiwa dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa adalah pintu yang sentiasa terbuka untuk membawa kita ke syurga. Sekiranya kita tidak bersetuju dengan mereka, maka katakanlah dengan nada yang lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah.

     Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’, ayat 23, yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua, maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan ucapan yang baik dan lembut."

    Remaja yang berwawasan adalah remaja yang tahu akan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, bangsa, agama, dan negara. Sememangnya zaman remaja penuh dengan pancaroba, namun dengan berpegang teguh kepada agama, insya-Allah, segala dugaan dan cabaran yang mendatang dapat ditangani atau dihadapi dengan jaya.

03 November 2010

Strategi penampilan diri

PENAMPILAN diri adalah salah satu aspek yang penting dalam penilaian peribadi seseorang murid. Ia bukan sahaja memberi satu gambaran yang positif terhadap nilai seseorang tetapi juga mampu mempengaruhi prestasi kecemerlangan murid itu sendiri.

Penampilan diri dapat dilakukan oleh murid melalui beberapa aspek berikut:

• Kekemasan diri
Anda harus kelihatan ”smart”, kacak, ”macho” segak dan lawa dari segi pakaian dan pengurusan diri. Ini bukan bermakna anda perlu membeli pakaian yang mahal dengan jenama yang terkenal atau menghias diri dengan solekan yang berlebihan tetapi sekadar memberi keselesaan pada diri sendiri dan kepada mereka yang melihat anda. Pakaian yang comot dengan keadaan diri yang tidak terurus menjadikan diri kita tidak bersemangat dan tidak dipedulikan orang. Lihatlah sahaja betapa segak dan mantapnya seorang murid yang berpakaian seragam sekolah yang lengkap atau berpakaian seragam bagi unit pakaian seragam. Mereka ini kelihatan ceria, berdisiplin, mudah mesra dan aktif dalam menjalankan tugas. Anda juga boleh kelihatan seperti mereka dengan mengenakan pakaian yang serba lengkap sebagai seorang murid sekolah.

• Budi pekerti dan akhlak mulia
Berbudi pekerti dan berakhlak mulia dapat dilihat melalui interaksi dengan guru, rakan-rakan dan ibu bapa. Percakapan yang bersopan adalah percakapan yang tidak menyakiti hari orang lain. Senda gurauan yang keterlaluan, ejekan dan sindiran kepada rakan boleh mengeruhkan suasana persahabatan dan akan menjadi bibit-bibit perselisihan dan pergaduhan. Jika anda mampu berinteraksi dengan lemah lembut, menggunakan bahasa yang sedap didengar seperti kata-kata pujian, penghargaan dan kata-kata semangat, anda mudah mendapat rakan dan anda akan sentiasa dihormati oleh mereka. Guru dan ibu bapa juga akan mudah didampingan jika anda dapat berinteraksi dengan mereka secara bersopan, berlemah-lembut dan sentiasa menghormati mereka.

• Perlakuan dan tabiat yang berkesan
Kedua-dua ciri ini berkehendakkan seseorang murid itu rajin berusaha, bersemangat dan bermotivasi tinggi tanpa berputus asa, proaktif, sentiasa patuh pada peraturan dan agama serta mempunyai keyakinan untuk berjaya. Murid seperti ini akan terus berusaha tanpa dipaksa, mengambil bahagian yang aktif dalam aktiviti akademik dan kokurikulum, rajin membuat ulang kaji, dan tidak merasa jemu bertanya kepada guru untuk menyelesaikan sebarang masalah pembelajaran. Mereka inilah yang akan mampu meraih kecemerlangan dalam kehidupan.

Pada hakikatnya, penampilan diri adalah amat diperlukan terutamanya pada kalangan murid di sekolah sebagai medan perjuangan ke arah mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.