04 April 2010

Hikmah Di Sebalik Kegagalan

TIDAK dapat dinafikan, kegagalan adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil daripadanya boleh menyebabkan seseorang sangat terganggu fizikal, mental, malah juga spiritual.



     Daripada sudut mental, selain menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, ada kalanya ramai juga akan mengutuk diri sendiri atas kegagalan yang menimpa. Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa kepada putus asa.



     Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang, diri akan terus menjauhi masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya. Daripada sudut fizikal, bagi segelintir individu, selera menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Manakala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikalnya.



     Akhirnya, tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot. Kesudahannya, kedua-duanya rebah dan sukar bangkit kembali. Daripada sudut spiritual pula, kegagalan boleh mendatangkan dosa. Ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada’ dan qadar Allah SWT. Imannya tergoncang.



      Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah SWT ketika menghadapi sesuatu kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh daripada sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal, sukar dirawati. Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi sebab seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kembali kepada jalan lurus selepas bengkok lalu dia kembali bangkit dengan azam, rancangan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.



KEGAGALAN DAN SAYA Saya pernah gagal dalam banyak perkara, namun syukur kerana ia tanda kita perlu membuat perubahan yang besar bagi memperbetulkannya. Tanpa usaha itu, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya, satu perubahan itu sangat perit dan berat lagi kurang selesa. Walau sukar dan berat, ia satu kemestian. Hasilnya, apabila tepat cara pengendalian kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil lebih baik.



      Tatkala itu baru kita sedari, rupa-rupanya kegagalan itu adalah satu titik kepada penyambungan titik lain dalam kehidupan kita. Ia seperti satu simpang yang menjauhkan kita daripada kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa depan.  Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah SWT sudah mengingatkan: “Sesungguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan.” Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini kegagalan itu adalah satu proses yang perlu ditangani secara positif.



     Ia ibarat satu konflik yang mendesak minda dan akal kita untuk lebih agresif dan kreatif bagi mencari jalan keluar. Tanpa disedari, rupa-rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif. Pastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta juga minat. Tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat itu mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.

     Justeru, fikirkan dan berubahlah. Jangan menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya. Benar, apa saja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI. Kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakukan segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.

     Akhirnya, kegagalan jangan dicari tetapi apabila ia datang, ia tanda satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada satu zon baru yang tidak lagi gagal. Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat. Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali kepada Allah SWT.

29 Mac 2010

Pengalaman Penting Untuk Mencari Kerja

Tawaran melanjutkan pelajaran ke menara gading pastinya menjadi idaman setiap pelajar. Ibu bapa dan saudara-mara turut berbangga kerana selepas menamatkan pengajian nanti, pasti si anak memperoleh pekerjaan yang baik.



PERSEDIAAN AWAL...pemohon perlu sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu ketika menghadiri sesi temu duga.


MAHIR BERKOMUNIKASI...graduan harus bijak berkomunikasi dan menjaga penampilan diri ketika dipanggil untuk sesi temu duga.

     Namun, cerita indah itu sukar untuk diterjemahkan hari ini. Walaupun memiliki ijazah, ia bukan jaminan anda akan mendapat pekerjaan selepas keluar dari menara gading. Cerita graduan menganggur hari ini bukan kerana mereka tidak mendapat keputusan yang baik kerana ramai pelajar memperoleh pencapaian yang baik tetapi masih belum mendapat pekerjaan.


     Justeru, timbul persoalan apa yang tidak kena dengan graduan hari ini. Apakah perlu ada aksesori tambahan untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan? Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Pengurusan) Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Naseer Noor, berkata dalam suasana ekonomi negara kini, pelajar boleh merebut pelbagai peluang pekerjaan.


     Beliau berkata, kebanyakan graduan bukan gagal mendapat pekerjaan tetapi terlalu memilih dan lebih sanggup menganggur daripada bekerja.  “Sebagai graduan IPT, peluang memperoleh pekerjaan sentiasa ada kerana kebanyakan syarikat yang mencari pekerja mahu mengambil mereka yang berpelajaran.  “Masalahnya, pelajar kita terlalu memilih. Mereka lebih rela duduk di rumah daripada memegang jawatan yang tidak setaraf dengan tahap pendidikan yang diperoleh,” katanya. Dr Naseer berkata, sesetengah graduan juga tidak mempunyai kesabaran dan mudah bertukar pekerjaan.


     “Pelajar kini lebih mementingkan gaji lumayan daripada mengumpul pengalaman. Mereka bukan sekadar sering bertukar kerja, malah sanggup berhenti semata-mata kerana mendapat gaji yang kecil,” katanya. Beliau meminta pelajar tidak terlalu melihat faktor gaji kerana pengalaman lebih penting untuk masa depan. “Mungkin pekerjaan itu menawarkan gaji rendah tetapi lihat pula pengalaman yang diperoleh. Ada syarikat yang memberi gaji rendah tetapi menawarkan pelbagai latihan,” katanya.



     Selain itu, beliau mengakui sesetengah mahasiswa tidak memiliki ketrampilan yang menarik atau aset tambahan seperti kemahiran untuk meyakinkan majikan mengambil mereka. “Jika dalam temu duga, anda gagal menjawab beberapa soalan mudah termasuk berkaitan syarikat yang dipohon, tentu peluang mendapat kerja agak sukar.


      “Ketika menghadiri temu duga, penampilan perlu menarik dan jangan lupa membuat kerja rumah terutama jika penemuduga bertanyakan soalan pengetahuan am.  “Ada mahasiswa malas membaca dan ini memberi kesukaran apabila menghadapi temu duga, apatah lagi mereka tiada pengalaman,” katanya. Sementara itu, di pihak industri pula, ramai mahasiswa yang memohon sesuatu pekerjaan tetapi tidak membuat persediaan.

     Eksekutif Bahagian Sumber Manusia Toshiba Electronics Malaysia Sdn Bhd (Toshiba), Nur Azmil Zainal Abidin, berkata sesetengah graduan yang hadir untuk temu duga tiada pengetahuan mengenai jawatan dimohon. “Mahasiswa patut membuat persediaan rapi. Namun, daripada pengalaman mengendalikan sesi temu duga, mereka bukan saja tidak bersedia tetapi kabur terhadap jawatan yang dimohon. “Mahasiswa juga mempunyai masalah berkomunikasi terutama bahasa Inggeris. Ini menyebabkan majikan tidak berminat mengambil mereka walaupun pencapaian pelajaran cemerlang,” katanya.


     Sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan pekerja baru di Toshiba, kata Nur Azmil, selain persediaan graduan perlu memastikan resume yang dihantar adalah yang terkini. “Perkara pertama yang kami nilai ialah resume kerana ia dianggap pengenalan diri pelajar. “Ada pelajar mempunyai kelayakan tetapi resume tidak menepati piawaian ataupun gagal dikemas kini menyebabkan gagal dipanggil untuk temu duga,” katanya.


     Pada sesi temu duga ini, katanya, pemohon akan di nilai dari segi penampilan, cara berkomunikasi, pengetahuan mengenai jawatan yang dimohon dan beberapa soalan lain. “Melalui temu duga, majikan melihat sejauh mana kebolehan dan kesesuaian pelajar dengan jawatan itu. “Jika ada kelulusan tetapi tidak mampu menonjolkan diri dan meyakinkan majikan, hasilnya pasti mengecewakan,” katanya. Justeru, beliau meminta mahasiswa yang mencari pekerjaan memastikan sentiasa mengemas kini resume sebelum menghantar kepada majikan selain menjaga imej diri. “Graduan juga perlu ada keyakinan diri dan kemahiran lain yang dapat menyokong permohonan mereka,” katanya.


     Eksekutif Unit Pengurusan Kerjaya Eksekutif Baru, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohd Fidzuan Abu Bakar, berkata jika tiada pengalaman bekerja memang sukar untuk mendapat pekerjaan. Beliau berkata, cara paling baik ialah mencari sebanyak mungkin pengalaman bekerja kerana ia akan membantu mahasiswa untuk mendapat pekerjaan bergaji lumayan kelak.


       “Tanpa pengalaman, memang sukar mendapat kerja tetapi mereka boleh mencuba mencari pekerjaan dalam bidang yang tidak memerlukan pengalaman,” katanya. Katanya, TNB sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada graduan yang tiada pengalaman. Menurutnya, untuk memohon sesuatu pekerjaan, ia bukan saja memerlukan kemahiran mengenai jawatan itu tetapi kemahiran lain.


     “Jika anda memohon jawatan eksekutif jualan dan mempunyai kemahiran lain seperti boleh berkomunikasi dalam beberapa bahasa, boleh memandu, tahu mengenai pemasaran dan akaun, pasti anda pilihan utama,” katanya.

Gagal SPM Bukan Titik Akhir Hidup



      Air mata yang berlinangan sebaik memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberi seribu satu makna yang sukar untuk diungkapkan. Mana tidaknya, reaksi spontan selepas melihat slip keputusan SPM diiringi tangisan membuatkan ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan tertanya-tanya sama ada keputusan mereka cemerlang atau sebaliknya.



     Bagi pelajar yang memperoleh keputusan yang cemerlang, tangisan itu lambat-laun akan bertukar kepada senyuman, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang gagal? Bagi pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang, mudah membuat perancangan masa depan dengan memohon memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).


     Benarkah masa depan pelajar yang gagal itu gelap atau ada peluang lain untuk menebus maruah yang hilang? Jika ada apa yang harus lakukan? Sesetengah berpendapat  keputusan SPM sangat penting, tetapi ia bukanlah penentu masa depan seseorang. Tahap kematangan seseorang individu adalah berbeza dan jika berusaha gigih, masa depan mereka pasti cerah.


      Gagal sekali tidak bererti gagal selamanya. Jadi, jangan anggap gagal SPM sebagai satu titik akhir dalam hidup. Insya-Allah jika berusaha, kejayaan pasti ada. Pelajar yang gagal atau keputusan 'cukup makan' tidak perlu risau kerana banyak peluang untuk berjaya.



      Dahulu memang peluang melanjutkan pelajar untuk mereka yang tercorot agak tipis Kini dengan adanya pelbagai kolej dan pusat pendidikan swasta, pelajar hanya perlu bijak memilih kursus yang diminati.  Dengan kelulusan minimum yang pelajar ada, mereka boleh memohon kursus di bidang teknikal atau vokasional.


     Latihan kemahiran di Giat Mara atau institusi pertanian membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran.  Apabila memperoleh sijil nanti, mereka mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi.


Bagaimana pula jika gagal memohon di mana-mana institusi atau pusat kemahiran? "Jangan risau kerana anda boleh bekerja dan dalam masa yang sama ambil kursus di mana-mana institusi atau mengulang semula peperiksaan SPM kembali. Perlu ada keazaman dan usaha gigih. Peluang kerjaya kini mempunyai banyak saingan dan pelajar perlu bijak memilih.


      Justeru, katanya, jika tiada pilihan lain, pelajar boleh menceburi bidang keusahawanan atau berniaga kecil-kecilan untuk mendapat pengalaman sebelum melabur dalam skil lebih besar. Ketika bekerja, kumpul modal dan belajar ilmu pengurusan, insya-Allah dalam tempoh beberapa tahun, anda bakal menjadi usahawan berjaya. Yang penting anda ada keinginan, semangat dan usaha untuk berjaya.


      Bidang keusahawanan menjanjikan masa depan yang cerah.  Justeru,  usah menangisi nasib sendiri apabila gagal kerana ia tidak membawa apa-apa, sebaliknya kumpul semangat yang masih ada untuk bangun dan melakukan sesuatu yang positif. Perasaan sedih itu memang lumrah apatah jika berusaha tetapi keputusan yang diterima mengecewakan. Tetapi, anda tidak boleh terus menangis kerana kehidupan perlu diteruskan, inilah yang patut ada pada diri pelajar yang gagal, semangat dari kejatuhan.


      Ketika ini ibu bapa memainkan peranan penting memberi dorongan kepada anak-anak. Sokongan ibu bapa diperlukan bagi mengubat pelajar yang dalam kesedihan. Mereka perlu peka dan prihatin. Jangan memarahi atau mengaibkan mereka kerana ia memberi akibat yang buruk. Ibu bapa perlu sedar bahawa pelajar yang gagal dalam SPM hari ini boleh berjaya di masa hadapan jika mereka bijak membimbing.


     Pelajar yang gagal rajin melihat peluang lain yang ada. Jika masih bersedih dan tidak boleh menerima kenyataan terhadap kegagalan itu, jumpa guru kaunseling di sekolah. Rajin-rajinlah membelek surat khabar untuk melihat peluang melanjutkan pelajaran.

23 Mac 2010

Adab Ketika Bertanya

Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan apabila ingin bertanya sesuatu kepada seseorang. Antara adab-adab bertanya secara ringkas adalah seperti berikut :

a) Memberi salam sebelum bertanya
b) Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
c) Bertanyalah dengan ikhlas
d) Mengucapkan terima kasih
e) Meminta izin sebelum bertanya
f) Bertanya perkara yang munasabah
g) Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain


Sebenarnya sikap suka bertanya adalah sangat penting dalam diri seseorang. Jika anda seorang pelajar, sikap suka bertanya mesti ada dalam diri kerana ia memberi banyak faedah. Antaranya ialah :
a) Tidak sesat jalan
b) Berakhlak mulia dan terpuji
c) Dapat menyelesaikan masalah
d) Tercapai hajat
e) Ramai kawan dan kenalan
f) Disukai dan dihormati


Justeru itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mengamalkan adab-adab yang telah dianjurkan oleh Islam agar kita bisa menjadi seorang muslim atau muslimah yang mempunyai nilai akhlak dan budi pekerti yang tinggi. Selain itu juga, dengan mengamalkan adab-adab dalam kehidupan seharian, kita akan disayangi Allah SWT dan mendapat keredhaannya. Semoga kita sama-sama mengamalkannya. Wallahu A’lam.

Adab Ketika Menuntut Ilmu

Adab-adab Ketika Belajar

a) Membaca Doa Penerang Hati
b) Duduk dengan sopan
c) Mendengar penerangan guru dengan teliti
d) Berlumba-lumba untuk belajar
e) Sabar ketika belajar
f) Sentiasa mengulangkaji pelajaran
g) Menghormati guru anda
h) Mendisiplinkan diri

Kebaikan Menuruti Adab-adab Ketika Belajar
a) Mendapat keberkatan daripada Allah SWT
b) Anda akan disenangi guru dan rakan
c) Mudah memahami dan menerima ilmu yang diajar
d) Akibat Mengabaikan Adab Ketika Belajar
e) Tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT
f) Dibenci oleh guru dan rakan anda
g) Sukar memahami dan menerima ilmu yang diajar.

Dengan ini, kita hendaklah mengamalkan budaya menuntut ilmu dengan mengikuti segala adab-adab yang telah digariskan supaya ianya dapat menyemai cintakan ilmu di dalam diri kita. Dengan mengamalkan adab-adab tersebut, insyaallah kita akan menjadi pelajar cemerlang yang disayangi guru dan rakan serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.