27 Oktober 2010

Membentuk tabiat positif

      Sesungguhnya tabiat seseorang itu mempengaruhi tindakan serta prestasi diri sepanjang tahun. Sebagai seorang murid anda harus membentuk tabiat positif di awal tahun lagi agar segala tindakan anda mampu memberi kesan yang positif ke arah peningkatan prestasi dalam pembelajaran.

      Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Begitulah pepatah melayu yang memberi maksud bahawa sesuatu kesedaran harus berlaku di peringkal awal agar mencukupi masa untuk membetulkannya. Oleh itu bagi diri murid membentuk sikap positif itu haruslah dilakukan sekarang agar ia dapat memberi ruang meningkatkan prestasi diri tanpa berasa bosan atau menggunakan faktor masa sebagai alasan. Di antara tabiat positif yang perlu dibentuk ialah seperti berikut:


• Positif terhadap kesukaran yang dihadapi: Terdapat segelintir murid yang menggunakan alasan bahawa belajar itu amat sukar untuk difahami. Memang betul dalam proses pembelajaran pelbagai kesukaran dan kesusahan akan dihadapi. Menghafal sifir, menghafal formula, mengingati fakta, mencari bahan isi karangan, melakar peta minda, menyelesai masalah matematik dan sebagainya adalah sukar. Walau bagaimanapun murid-murid harus ingat apa sahaja yang dilakukan itu sukar jika tidak dilatih dengan kaedah-kaedah tertentu. Seorang anak kecil amat sukar untuk berjalan tanpa bimbingan dan kaedah yang tertentu yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Oleh itu ingatlah bahawa sebarang kesukaan itu hanyalah untuk sementara waktu sahaja dan memerlukan usaha untuk mencari kaedah jalan penyelesaiannya.

• Peka terhadap masa: Masa berjalan dengan begitu pantas tanda disedari. Oleh itu rugilah bagi mereka yang tidak peka terhadap perjalanan masa. Untuk mengelakkan kita menjadi rugi maka seseorang murid harus membuat perancangan masa untuk mengatur aktiviti harian agar ia dapat dipenuhi dengan lebih bermakna. Jadual waktu belajar di rumah, jadual aktiviti kokurikulum, jadual untuk aktiviti rekreasi harus dibina, dipatuhi dan dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa bertangguh-tangguh. Sifat bertangguh-tangguh seperti bertangguh untuk membuat kerja rumah, bertangguh untuk belajar, bertangguh untuk bertanya adalah diantara punca kepada pembaziran masa. Akhirnya semua kerja tidak beres dan istilah kesuntukan masa dijadikan alasan kegagalan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

• Yakin terhadap kebolehan diri: Allah mencipta manusia untuk mencapai kejayaan. Oleh itu sejak kecil kita dilahirkan sudah difitrahkan oleh Allah iaitu kebolehan atau potensi untuk digunakan sebagai penentu kejayaan. Kebolehan dan potensi ini harus diterokai, dicungkil dan diusaha dengan penuh keyakinan untuk mendapatkan hasilnya. Keyakinan merupakan tenaga dalaman yang mampu menjana minda dan menggerak segala anggota untuk berusaha mencapai apa yang diingini. Seseorang yang tidak yakin terhadap dirinya akan sentiasa mengalah, tidak mahu mengambil bahagian secara aktif dalam sebarang aktiviti serta mudah berputus asa, selalu meyindiri kerana beranggapan dirinya hina jika dibandingkan dengan orang lain.


Tambah kapsyen

• Berani mencuba untuk kebaikan: Ramai murid berasa malu untuk bertanya atau berasa tersinggug apabila berlakunya sesuatu kesilapan ketika belajar di mana sifat ini harus dikikis dari peringkat awal lagi. Malu bertanya sesat jalan!. Itulah gambaran yang diberikan dalam pepatah melayu yang membawa maksud seseorang yang malu untuk mendapatkan maklumat akhirnya menemui kegagalan.

      Pembentukan tabit positif ini haruslah diberi penekanan di awal tahun lagi agar segala masalah dapat dibendung dan dapat dijadikan sebagai ikhtibar dalam menghadapi cabaran yang pastinya menguji kita dalam usaha mengapai kejayaan.

Keazaman membina kekuatan

     KEAZAMAN merupakan satu kehendak dalaman ke arah mencapai sesuatu yang diingini. Walaupun ia kelihatan mudah dan kebanyakan pelajar sudah mempunyai keazaman tetapi kemungkinan ia hanya sekadar terpendam di lubuk hati tanpa menjadikannya satu realiti.

      Kenapa perlunya ada keazaman di dalam diri kita? Apabila seseorang itu berazam ia sebenarnya sedang melalui proses pengumpulan tenaga yang akan membina kekuatan dalaman. Kekuatan dalaman inilah yang dipanggil semangat yang akan menjadi pendorong dan penggerak tindakan yang dijelmakan melalui kekuatan fizikal.

      Sebagai contoh apabila kita berazam mendapatkan sesuatu yang menarik, kekuatan yang ada pada diri kita itu menjadikan kita seolah-olah tidak sabar lagi untuk mendapatkannya. Kemungkinan semalaman kita tidak boleh tidur memikirkannya walaupun sebelum dari itu diri kita cepat mengatuk serta tidur lebih awal. Inilah yang dikatakan tenaga dalaman yang mampu membina kekuatan kepada minda dan anggota fizikal. Ini bermakna seseorang yang kelihatan lemah, tidak berminat untuk belajar, kerap bosan adalah orang yang lemah dari segi kekuatan dalaman yang tidak mampu menggerakkan anggota fizikalnya untuk bertindak. Mereka ini sudah pasti tidak mempunyai matlamat, cita-cita serta tidak ada keazaman diri.

      Setiap keazaman perlulah disusuli dengan tindakan agar dapat dimanfaatkan pada diri kita. Untuk mengelakkan keazaman menjadi hanya seperti angan-angan Mat Jenin, maka keazaman itu haruslah mempunyai beberapa ciri berikut:-

• Penumpuan keazaman: Keazaman seharusnya ditumpu pada sesuatu yang spesifik. Tanya diri kita apa yang kita ingini pada tahun ini secara jelas dan terperinci sehingga kita faham hala tuju keazaman kita. Elakkan keazaman yang bersifat samar-samar atau yang tidak menentu iaitu yang sentiasa berubah-ubah kerana ini akan menyukarkan perlaksanaannya nanti.

Boleh dilaksanakan: Biarlah keazaman itu tidak mustahil dilakukan. Oleh itu keazaman yang kita ingini itu perlulah sepadan dengan kemampuan serta dapat dilaksanakan secara progresif.

Mempunyai perancangan: Perancangan adalah penting kerana ia menjadi penggerak tindakan yang akan dilakukan. Perancangan boleh berbentuk jadual pengurusan masa perlaksanaan, sumber atau coretan refleksi yang mencatatkan tahap pencapaian atau kemajuan tindakan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

• Disiplin diri: Kesabaran, pengorbanan dan ketelusan merupakan aspek disiplin diri yang harus diaplikasikan dalam kehidupan kita terutamannya dalam melaksanakan segala keazaman yang kita ingin dicapai. Segala bentuk amalan yang menimbulkan keselesaan dan keseronokan sehingga menjejas keazaman kita haruslah dikorbankan. Ketekalan dalam melaksana secara berterusan serta kesabaran menunggu kejayaan hasil daripada usaha yang dilakukan merupakan faktor yang penting demi untuk mengelakkan diri kita daripada merasa bosan atau berputus asa.

     Sesungguhnya keazaman itu harus ada pada diri kita agar semangat dalaman akan sentiasa membara di jiwa ke arah pengumpulan kekuatan dalaman serta membentuk tindakan yang berfaedah untuk memberi kesempurnaan dalam kehidupan kita.

11 Oktober 2010

Gangguan …..hilang tumpuan

PERNAHKAH anda diganggu? Siapakah yang mengganggu anda? Bagaimanakah anda diganggu dan apakah kesannya terhadap diri anda?

      Gangguan bukan sahaja berlaku dari segi fizikal sahaja tetapi dari segi mental dan perasaan hati. Gangguan fizikal melibatkan anda disentuh oleh rakan-rakan anda pada anggota badan yang menyebabkan timbulnya rasa ketidakselesaan pada diri anda. Sentuhan ini mungkin bersifat lembut seperti mengusap bahu atau memeluk badan anda. Ia juga mungkin bertukar menjadi lebih kasar sekiranya melibatkan kesakitan seperti menepuk badan, mencubit paha atau tangan, menampar pipi dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada hanya untuk bergurau atau sebagai satu tindakbalas yang menunjukkan rasa ketidakpuasan terhadap diri anda.

      Gangguan mental kebiasaannya akan berakhir dengan gangguan perasaan hati atau jiwa. Gangguan ini mungkin disebabkan terjadinya sesuatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan seperti peristiwa kesedihan yang menimpa diri dan keluarga anda, peristiwa yang memalukan diri anda, kegagalan yang dialami, tekanan daripada keluarga dan rakan, kesibukan dan kesuntukan masa, kelalaian anda melengkapkan sesuatu tugasan dan sebagainya.

      Bagi golongan remaja pula terdapat beberapa sebab terjadinya gangguan mental dan perasaan hati. Ia berpunca daripada masalah perhubungan antara remaja lelaki dan perempuan, salah faham dengan rakan, perhubungan yang tidak akrab dalam keluarga, jurang generasi lama dan baru serta budaya perlakuan yang keterlaluan.

      Dalam keadaan ini peristiwa yang berlaku terhadap diri anda sama ada dari segi fizikal, mental atau perasaan akan sentiasa bermain dan terbayang dalam fikiran. Bayangan ini akan mewujudkan pelbagai perasaan seperti marah, sedih, sayu dan sebagainya. Konflik dalam diri anda akan terjadi yang akan mengakibatkan berlakunya pemberontakan dalam diri anda.

      Sikap ini akan menyebabkan anda tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran. Pada zahirnya anda tidak dapat menunjukkan satu bentuk peribadi yang baik dan mulia. Anda tidak ceria, murung, kurang bertenaga, suka bersendirian, prestasi pelajaran terjejas atau anda akan menjadi seorang pelajar yang agresif, suka mengganggu rakan, suka menonjol diri secara biadap dan tidak ingin kepada pembelajaran.

       Pelajar begini akhirnya akan menemui kegagalan jika tidak dibimbing dan dibendung. Oleh itu langkah-langkah perubahan diri haruslah dilakukan dengan segera oleh anda sendiri demi untuk mempastikan masa hadapan yang lebih cemerlang dapat dicapai oleh anda.

7 Peralatan Bertanya untuk menyoal minda

Anda tentu ingin sekali memiliki kemahiran menyoal minda sendiri, bukankah begitu? Tetapi bagaimana untuk melakukannya? (Sebenarnya, anda telahpun menyoal minda sendiri dengan bertanya soalan ini!). Bagaimana untuk menyoal soalan-soalan yang berkualiti kepada minda kita sendiri, supaya tahap pemahaman kita mampu ditingkatkan lagi?

      Ermm.. Soalan minda yang baik! Sebenarnya, kebanyakan pelajar yang asyik menyoal minda dengan soalan yang negatif bukanlah kerana mereka suka dan mahir menyoal soalan yang negatif; tetapi ia berlaku kerana ramai orang tidak berapa mahir untuk mengemukakan soalan positif sebanyak yang mungkin. Oleh kerana mereka tidak pernah dilatih untuk bertanyakan soalan-soalan yang berfaedah, maka otak akan menjadi ’bosan’ dan inginkan ’sesuatu untuk dilakukan’. Akhir sekali, otak akan mula bertanyakan soalan-soalan yang boleh membantutkan potensi minda yang sebenar. Jadi, dengan kemahiran bertanyakan soalan yang berkualiti, secara automatik dapat ’menyibukkan’ otak anda daripada berfikir secara negatif.
Photobucket

Jadi, bagaimana untuk mahir menyoal minda sendiri?

Pertama, jika anda tidak tahu apa yang boleh dan patut ditanya, anda boleh mulakan dengan menggunakan 7 Peralatan Bertanya. Apakah dia peratalatan-peralatan itu? Ia adalah:

Apa

Siapa?

Di mana?

Bila?

Berapa? (banyak, lama, sukatan, jarak, tempoh, dan sebagainya)

Kenapa?

Bagaimana?

Anda sudah tentu tahu maksud dan fungsi ketujuh-tujuh kata soal di atas. Apa yang berlaku ialah, ramai orang sudah tahu maksud dan fungsi ketujuh-tujuh kata soal di atas, tetapi tidak betul-betul menggunakannya untuk meningkatkan prestasi diri. Di sini saya ingin memberitahu anda bahawa, semakin cekap anda menggunakan ketujuh-tujuh patah kata di atas, semakin hebat tahap kefahaman anda dalam pelajaran. Cubalah!

Teknik untuk meningkatkan fokus ketika belajar

1. Berfikiran positif. Anggapkan masa mengulangkaji pelajaran sebagai masa untuk mempelajari sesuatu, bukan untuk melaksanakan tugasan-tugasan sukar. Jika anda asyik memfokuskan fikiran kepada kesukaran dan kepayahan, otak anda akan menjadi penat sebelum anda bermula lagi. Bayangkan anda sedang mencuba keupayaan diri, belajar sesuatu yang baru, dan mempertingkatkan diri sendiri.

2. Jangan pedulikan kebisingan di sekeliling. Anda tidak boleh elakkan kebisingan. Hanya tempat dan waktu tertentu sahaja anda boleh mendapatkannya, tetapi ia bukannya mudah. Jangan jadi terlalu cerewet. Belajarlah untuk belajar di tempat yang ‘agak’ bising. Gunakan kaedah ‘Jangan jaga tepi kain orang’ jika anda ingin ‘mengasingkan diri’ daripada segala kebisingan itu.

3. Gunakan kaedah labah-labah. Jika anda membaling segumpal kertas ke sarang labah-labah, ia akan mengesan satu bentuk gegaran lantas bergegas ke tempat itu. Apabila ia dapati hanya segumpal kertas, ia akan berpatah balik. Jika anda membaling kertas untuk kali kedua, labah-labah itu tidak akan bergegas lagi, kerana dia tahu jenis gegaran kertas yang tidak boleh dimakan itu. Begitu juga dengan anda. Jika anda sedang belajar di dalam perpustakaan, pasti ada orang yang lalu lalang membuka pintu, atau membelek-belek buku, atau berbisik-bisik. Cukuplah hanya sekali anda memandang ke arah mereka. Selepas itu, abaikan mereka. Jadilah seperti labah-labah yang tidak ‘tertipu’ untuk kali kedua.

4. Pastikan semuanya ada di atas meja. Buku, alatulis, dan peralatan yang diperlukan sudah tersedia sebelum anda memulakan ulangkaji anda. jangan biarkan kosentrasi anda terganggu hanya semata-mata terlupa untuk membawa pemadam pensil, atau kertas catitan, atau kalkulator. Cubalah untuk berada di meja belajar sekurang-kurangnya setengah jam sebelum anda bangun untuk melakukan perkara lain.

Photobucket5. Lupakan yang lain, penuhkan otak anda dengan apa yang akan dipelajari. Buat satu senarai soalan-soalan dalam kepala anda tentang apa yang anda ingin belajar kali ini. Timbulkan pertanyaan-pertanyaan yang mendesak akal supaya berfikir. Dengan ini, otak akan sentiasa ‘melompat-lompat’ dari satu idea ke satu idea yang lain.

6. Jangan tahan lapar. Lapar boleh menghilangkan tumpuan anda tidak kira apa jua keadaan anda. kadangkala ada pelajar yang pergi ke sekolah atau memasuki dewan peperiksaan tanpa makan terlebih dahulu. Akhir sekali kelaparan merobek usus mereka dan tiada satu pun jawapan yang dia ingat. Usah diseksa perut anda yang sedang menyanyi itu. Luangkan sedikit masa untuk mengisi sehingga hilang kelaparan itu.

7. Buat senarai semakan hilang tumpuan. Bunyinya agak menggelikan hati, tetapi ia penting untuk mengingatkan anda, berapa anda telah hilang tumpuan. Bawalah satu kertas kecil, ditulis dengan tarikh dan masa. Setiap kali anda hilang tumpuan, tandakan (?) pada senarai semakan itu. Buat secara tetap dan berterusan sehingga anda benar-benar menyedari betapa banyak diri anda ‘tergelincir daripada landasa yang tepat.